• Masa Depan Belia Cerah Di Bawah BN

    Published: Wednesday, 11 April 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Manifesto Jaminan Orang Muda ditampilkan Pemuda Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa golongan belia sentiasa mendapat tempat di hati kepemimpinan parti tersebut yang memandang tinggi belia sebagai penentu masa depan negara.

    Jaminan Orang Muda yang dilihat sebagai pelengkap kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50) juga berteraskan kepada keluh kesah anak muda dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini.

    Bendahari Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli berkata, manifesto yang dilancarkan oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin merupakan sebuah jaminan BN yang realistik dan rasional khas buat golongan muda.

    Jelas beliau, jaminan tersebut juga adalah manifesto pertama yang menampilkan belia sebagai tonggak pentadbiran negara.

    “Saya yakin golongan muda tidak mengira lapisan masyarakat akan mendapat manfaat secara terus dengan semua inisiatif yang telah dirangka dan akan dilaksanakan memandangkan manifesto ini bersifat sangat inklusif.

    “Lapan fokus tersebut juga sangat dekat dengan orang muda dan ini juga adalah manifesto pertama dalam bentuk jaminan dan bukan janji kosong BN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Manifesto Jaminan Orang Muda telah dilancarkan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berteraskan kepada lapan jaminan terhadap golongan muda bukan sahaja untuk lima tahun akan datang, malah sehingga TN50 direalisasikan pada tahun 2050.

    Lapan jaminan tersebut merangkumi jaminan pekerjaan dan latihan untuk orang muda; meningkatkan pendapatan dan kemahiran orang muda; memperkasa ekonomi belia luar bandar dan memudahkan usahawan muda mendapat bantuan.

    Selain itu, Pemuda BN juga berhasrat untuk menekankan aspek meringankan beban keluarga muda; menyediakan kehidupan berkualiti; memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea generasi TN50.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Masa Depan Belia Cerah Di Bawah BN "