• MARA Banyak Menyumbang Kepada Cara Hidup, Ekonomi Bumiputera

    Reporter: Anyin Ayeng
    Published: Sunday, 1 April 2018
    A- A+


    SIBU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah banyak menyumbang ke arah perubahan cara hidup dan ekonomi masyarakat Bumiputera di negeri ini.

    Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata, peranan MARA kini sangat meluas dan tidak hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja.

    “Kalau dahulu, masyarakat biasanya mengaitkan MARA dengan memberi pinjaman wang ringgit kepada mereka yang ingin berniaga.

    “Persepsi itu mengaitkan berhutang dengan kerajaan. Namun, sejajar dengan peredaran zaman MARA kini banyak berubah dan mampu melahirkan golongan Bumiputera yang berjaya dalam ekonomi dan pendidikan,” ujarnya berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan 2018 di Bangunan Arked MARA Sibu di sini, semalam.

    Hadir sama Pegawai MARA Daerah Sibu Mohd Razib Mohd Tahir dan Pengerusi Persatuan Penyewa Premis MARA Sibu (PPPMS) Selohi @ Sarbini Awai.

    Karnival yang berlangsung dari 30 Mac hingga 1 April itu dianjurkan bersama oleh PPPMS dan MARA Daerah Sibu.

    Antara pengisian karnival ialah gerai makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. 

    Turut diadakan pertandingan karaoke kanak-kanak, pertandingan karaoke era 60/70-an, pertandingan mewarna, pertandingan pulut kuning dan rojak, demonstrasi membuat kimchi dan susyi, kempen derma darah, seminar keusahawan, taklimat daripada agensi kewangan dan kerajaan serta taklimat pendidikan untuk lepasan SPM.

    Abu Seman memberitahu, MARA juga banyak memberi kemudahan kepada golongan Bumiputera antaranya pendidikan, latihan teknikal, pinjaman perniagaan, pelaburan dan sebagainya. Justeru katanya,

    MARA telah berjaya meningkatkan bilangan peniaga, malah turut menjana tenaga mahir dari golongan belia Bumiputera.

     “Manfaatkanlah setiap peluang yang ada dalam MARA. Mereka sudi membantu. Sekarang anda tidak perlu mengunjungi pejabat-pejabat MARA sebaliknya MARA sekarang ibarat datang mengetuk pintu rumah anda untuk memberi khidmat kepada anda,” ujarnya lagi.

     Sementara itu, beliau menyeru golongan peniaga agar mencintai perniagaan mereka. Modal sahaja katanya, tidak cukup kalau tiada tarikan, layanan mesra, kebersihan dan sebagainya dalam menjalankan sesuatu perniagaan.

    “Semua perkara tersebut sangat penting walaupun ia nampak kecil tetapi impaknya sungguh besar dalam perniagaan.

    “Ini kerana perkara tersebut boleh mempengaruhi perniagaan anda sama ada kekal lama atau sebaliknya,” tegasnya. Beliau turut menyeru kepada golongan Bumiputera agar terus mendekatkan diri dengan MARA bagi manfaat berterusan.

    Pada majlis itu, Abu Seman turut menyempurnakan upacara memotong kek sambutan ulang tahun ke-52 MARA.-Utusan Borneo
  • No Comment to " MARA Banyak Menyumbang Kepada Cara Hidup, Ekonomi Bumiputera "