• Manusia Tertua Berumur 117 Tahun Meninggal Dunia

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 22 April 2018
    A- A+

    MANUSIA tertua di dunia, Nabi Tajima yang berasal dari Jepun telah menghembuskan nafas yang terakhir dalam usia 117 tahun.

    Jurucakap kesihatan dan kebajikan, Susumu Yoshiyuki berkata, wanita yang dilahirkan pada 4 Ogos 1900 itu meninggal dunia di tempat asalnya di Pulau Kikai, Kagoshima kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) ketika berada di hospital.

    “Tajima tinggal di pusat jagaan orang tua. Pada Januari lalu, keadaannya semakin lemah sebelum dibawa ke hospital. Dia meninggal di sini disebabkan usianya yang semakin uzur,” katanya.

    Menurut ABC News, Tajima dinobatkan wanita tertua Jepun pada September 2015. Dia kemudiannya dinyatakan sebagai wanita tertua di dunia menggantikan Violet Brown of Jamaica yang meninggal dunia pada September 2017 pada usia 117 tahun.

    Bagaimanapun, Guinness World Records (GWR) masih belum memberi pengiktirafan kepada Tajima sebagai manusia tertua di dunia kerana wanita tersebut tidak mempunyai dokumen rasmi dan GWR masih lagi menyiasat individu lain paling tua di dunia.

    Terdahulu, pertubuhan itu telah menobatkan Masazo Nonaka sebagai lelaki tertua dunia pada usia 112 tahun semasa 10 April lalu.

    Kumpulan Penyelidikan Gerontologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengatakan bahawa seorang lagi wanita Jepun, Chiyo Miyako, kini merupakan orang tertua di dunia dalam rekodnya.

    Miyako tinggal di selatan Tokyo di wilayah Kanagawa, dijangka menjangkau umur 117 dalam 10 hari lagi. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

    Subjects:

  • No Comment to " Manusia Tertua Berumur 117 Tahun Meninggal Dunia "