• #ManifestoBN: Mengukir senyuman untuk Sabah dan Sarawak

    Published: Saturday, 7 April 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 menjanjikan peluang dan hak yang lebih banyak kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan kedua-dua negeri itu berkembang secara seimbang dengan pembangunan nasional.

    Yang penting hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 akan direalisasikan secara konsensus, sesuatu yang dituntut oleh kedua-negeri itu sejak beberapa dekad lepas.

    Apa yang menarik dalam manifesto BN itu ialah rancangan mewujudkan mekanisme Satu Negara Satu Harga dengan memansuhkan label harga barang mengikut kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

    Manifesto bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku' yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN, malam ini, menggariskan rancangan dan janji BN untuk membawa Malaysia ke arah kecemerlangan untuk kesejahteraan rakyat.

    Dalam manifesto itu, BN berjanji menyediakan peruntukan khas untuk usahawan-usahawan Sabah dan Sarawak.

    Selain itu, kemampuan kuasa persenjataan pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) akan ditingkatkan manakala kawalan keselamatan sempadan darat di Sabah dan Sarawak akan dipertingkatkan melalui Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

    BN juga berjanji akan membina Lapangan Terbang Mukah dan Lawas di Sarawak serta menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan.

    Untuk mengiktiraf bahasa suku kaum etnik di Sabah dan Sarawak, BN juga berjanji untuk memberi peruntukan khusus melatih tenaga pengajar dan keperluan bahan pengajaran Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun, seterusnya disalurkan ke Unit Bahasa Iban, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Unit Bahasa Kadazandusun, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

    Selain itu, BN berjanji untuk menambah jumlah pegawai-pegawai yang berkaitan dengan perkhidmatan Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun di Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

    Dalam manifesto berkenaan, BN juga menjanjikan untuk memberi peruntukan khas untuk Kursi Kadazandusun di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selain memperkasa suku kaum Dayak dengan mewujudkan program khas serta bantuan dana bagi aktiviti menyukat tanah adat, usahawan-usahawan Dayak dan pengajaran Bahasa suku kaum di Sarawak.

    BN juga akan menubuhkan Institut Kajian Pribumi dan Penduduk Asli di Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah.

    Berikut adalah antara yang terkandung dalam manifesto:

    - Menaik taraf rumah panjang di Sarawak dan rumah air di Sabah.

    - Memperkukuhkan jaringan pengangkutan di Sabah dan Sarawak dengan menaik taraf 12,500 kilometer (km) jalan luar bandar.

    - Meneruskan subsidi bekalan air di pedalaman Sabah.

    - Mencerap lebih banyak fakta dan persepktif sejarah dari Sabah dan Sarawak.

    - Membina Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Tebedu, Sarawak dan Kalabakan, Sabah.

    - Membina Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) bernilai RM4.3 bilion.

    - Menaik taraf laluan kereta api Sabah dari Halogilat ke Tenom.

    -Mewujudkan tiga skim pembetungan di Sabah.

    - Membina lima Loji Enap Cemar di Sarawak.

    - Dalam masa yang sama menyokong usaha kerajaan negeri Sarawak dalam melaksanakan program-program di bawah Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR).

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " #ManifestoBN: Mengukir senyuman untuk Sabah dan Sarawak "