• #Manifesto BN: Pembangunan Sabah, Sarawak Terus Jadi Keutamaan

    Published: Saturday, 7 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pembangunan di Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) menerusi peruntukan berbilion ringgit bagi penyediaan kemudahan yang akan membawa keceriaan kepada rakyat di dua negeri itu.

    Menerusi manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BN berjanji untuk memperbanyakkan lagi kemudahan dan peluang agar hari esok lebih cerah dan ceria di Sabah dan Sarawak.

    Manifesto itu antara lain akan memastikan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 akan direalisasikan secara konsensus.

    Selain itu sejumlah RM2 bilion akan diperuntukkan bagi meningkatkan kualiti liputan telekomunikasi di seluruh Sabah dan Sarawak.

    Liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga akan diperluaskan dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion, selain pembinaan Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) bernilai RM4.3 bilion yang bakal menstabilkan bekalan elektrik dan memacu pembangunan ekonomi Sabah

    BN juga akan memansuhkan label harga barang mengikut kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak ke arah Satu Negara Satu Harga.

    Malah peruntukan khas juga akan disediakan untuk usahawan di kedua-dua negeri terbabit.

    Jaringan pengangkutan di Sabah dan Sarawak juga akan diperkukuhkan dengan menaiktaraf 12,500 kilometer jalan luar bandar.

    Tumpuan juga akan diberikan dalam menaiktaraf rumah panjang di Sarawak dan rumah air di Sabah.

    Soal keselamatan turut menjadi keutamaan dengan meningkatkan kemampuan kuasa persenjataan pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

    Selain itu kawalan keselamatan sempadan darat di Sabah dan Sarawak, AKSEM dan AKSEMNET turut dipertingkat.

    Info Tambahan Manifesto BN untuk Sabah dan Sarawak

    Menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan.

    Membina Lapangan Terbang Mukah dan Lawas.

    Menaiktaraf laluan kereta api Sabah dari Halogilat ke Tenom.

    Mencerap lebih banyak fakta dan perspektif sejarah dari Sabah dan Sarawak.

    Menubuhkan Institut Kajian Peribumi dan Penduduk Asli di Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah.

    Membina Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Tebedu, Sarawak dan Kalabakan, Sabah.

    Mewujudkan 3 skim pembentungan di Sabah.

    Membina 5 Loji Enap Cemar di Sarawak.

    Memberikan peruntukan khusus untuk melatih tenaga pengajar dan keperluan bahan pengajaran Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun, seterusnya disalurkan ke Unit Bahasa Iban, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Unit Bahasa Kadazandusun, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

    Memberikan peruntukan khas untuk Kursi Kadazandusun di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Menambah jumlah pegawai yang berkaitan dengan perkhidmatan Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun di Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

    Memperkasa suku kaum Dayak dengan mewujudkan program khas serta bantuan dana bagi aktiviti menyukat tanah adat, usahawan Dayak dan pengajaran Bahasa Dayak.

    Menyokong usaha Kerajaan Negeri Sarawak dalam melaksanakan program di bawah Unit For Other Religions (UNIFOR). - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " #Manifesto BN: Pembangunan Sabah, Sarawak Terus Jadi Keutamaan "