• Manifesto BN Bukti Kewangan Negara Kukuh

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 8 April 2018
    A- A+

    BAGAN DATUK – Manifesto atau Aku Janji Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi membuktikan rizab kewangan negara kukuh dan tidak bankrap, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan Perdana Menteri itu berkata ini kerana manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu telah dibuat secara kajian terperinci termasuk mengambil kira kantung pendapatan negara khususnya di Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

    Malah jelasnya, aku janji BN setebal 262 muka surat dan mengandungi 14 tema utama dengan 392 inisiatif itu meliputi semua lapisan masyarakat itu adalah praktikal dan realistik untuk dilaksanakan dan bukannya manifesto pembangkang diibaratkan seperti ‘turun dari langit’.

    “Kita dapati ketika pembentangan belanjawan yang terdahulu, andaian yang dibuat oleh kerajaan harga petrol adalah US$59 (RM228) setong. Namun sekarang harga telah mencecah lebih sedikit (iaitu) US$69 (RM267) setong, ertinya pendapatan negara akan bertambah.

    “Maka pendapatan inilah yang digunakan untuk melaksanakan program-program yang dirancangkan. Di samping itu, kita lihat apabila sistem percukaian daripada SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) kepada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), wang itu dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

    Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Pengerusi BN berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Tinjauan Mesra Sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Wisma UMNO di Hutan Melintang di sini hari ini.

    Kata Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk, pelaksanaan GST itu memperlihatkan kerajaan tidak pernah bankrap kerana rizab negara yang telah diumumkan oleh Bank Negara berada pada tahap tertinggi iaitu lebih daripada US$108 bilion (RM418 bilion).

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan pengurusan kewangan negara dan juga seluruh sistem penyampaian dilaksanakan oleh kerajaan BN adalah suatu yang mampan untuk dilaksanakan seperti manifesto BN yang terdahulu.

    Jelasnya lagi, projek pembangunan yang dirancang dan dilakukan selama ini tidak dapat dilaksanakan jika pengurusan kewangan negara tidak mengikut langkah yang betul.

    “Mana mungkin rizab (negara) kita (boleh) meningkat kalau negara kita bankrap, dan mana mungkin projek-projek dapat dilaksanakan jika pengurusan negara tidak dijalankan dgn sepenuhnya,” katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan turut menunaikan janji dengan memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diabaikan oleh pemimpin yang telah lama memerintah negara suatu ketika dahulu ke dalam manifesto BN kali ini.

    “Kita lihat contohnya MA63, Perdana Menteri menyebutkan perjanjian tandatangan antara negeri-negeri di Malaysia memperlihatkan Sabah dan Sarawak adalah komponen utama di dalam perjanjian berkenaan.

    “Jadi dengan adanya manifesto ini kita harap beberapa tindakan terlepas pandang oleh pemimpin-pemimpin terdahulu terutama pemimpin yang agak lama memimpin negara tidak lagi dijadikan isu seperti isu Sabah untuk Sabahan dan Sarawak untuk Sarawakian,” katanya.

    Mengambil contoh inisiatif untuk wanita, Ahmad Zahid juga berkata Manifesto BN PRU-14 kali ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada golongan wanita di negara ini dan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa mereka. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Manifesto BN Bukti Kewangan Negara Kukuh "