• #Manifesto BN: 5 Juta Pelajar Berkemahiran Digital Hadapi Revolusi Industri 4.0

    Published: Saturday, 7 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menjanjikan masa depan sektor pendidikan negara yang inklusif berdepan Revolusi Perindustrian Keempat (Revolusi Industri 4.0) dengan memahirkan 5 juta pelajar sekolah berkemahiran digital.

    Perkara itu antara terkandung dalam manifesto BN bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku' yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, di sini malam ini.

    BN juga berjanji mengurangkan beban kerja pentadbiran para pendidik dengan peralatan terbaik di bilik darjah.

    Seterusnya BN memberi jaminan menaik taraf semua sekolah daif di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

    Berikut antara yang terkandung dalam manifesto BN:

    - Memadankan pelajar universiti dan bakal majikan di bawah Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M 2.0).

    - Melahirkan pekerja pembinaan berkemahiran tinggi.

    - Menaik taraf Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

    - Menaikkan had insentif untuk Skim Simpanan Pendidikan.

    - Menambah jumlah subjek dalam Program Dwibahasa (DLP)

    - Mempertingkat kemahiran Bahasa Inggeris melalui Program Dwibahasa (DLP), Program Imersif Tinggi (HIP) dan memperkenalkan sekolah beraliran Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek rintis.

    - Menyediakan insentif khusus untuk mencipta khidmat pembelajaran dalam talian.

    - Memperluas pelaksanaan Program Anak Angkat bagi pengukuhan sosiobudaya.

    - Membina dan menambah kapasiti asrama untuk pelajar-pelajar luar bandar.

    - Meluaskan capaian Internet pantas ke semua universiti awam.

    - Memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk program pendidikan khas masyarakat luar bandar untuk 615,000 peserta.

    - Mengendalikan bengkel ilmu keibubapaan di kawasan yang sudah dikenal pasti.

    - Mentransformasi infrastruktur di universiti awam untuk kampus bestari.

    - Menurunkan kadar keciciran pelajar-pelajar Orang Asli di Sekolah.

    - Memperkukuh sistem pendidikan pelbagai aliran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebngsaan Tamil (SJKT).

    - Menaik taraf prasarana, bilik darjah, bilik guru khusus di sekolah untuk anak-anak tentera.

    - Menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kepada Universiti P. Ramlee.

    - Menubuhkan Universiti Al-Quran agar lebih banyak graduan huffaz yang mempunyai pelbagai kepakaran.

    - Melengkapkan sekolah-sekolah tahfiz dengan sistem latihan kemahiran Giat MARA.

    - Meningkatkan peratusan pengambilan pelajar bukan Bumiputera ke universiti awam di Malaysia.-BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " #Manifesto BN: 5 Juta Pelajar Berkemahiran Digital Hadapi Revolusi Industri 4.0 "