• Mampukah Manifesto BN Sarawak Cipta Kemenangan Besar PRU14?

    Published: Monday, 9 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kos sara hidup, rumah mampu milik, pengangkutan dan pendidikan, pastinya antara isu yang akan 'bergema' di setiap pelusuk negeri di negara ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Bahang itu kian terasa walaupun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah setakat ini belum membuka mulut mengenai tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pembuangan undi.

    Tempias kehangatan PRU14 itu juga sampai ke negeri Bumi Kenyalang.

    Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg dijangka melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak sekitar jam 4 petang ini.

    Manifesto itu akan ditatang oleh barisan kepimpinan atau calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

    Adakah manifesto atau aku janji ini akan menarik minat rakyat Sarawak, sama ada di bandar mahupun di luar bandar?

    Bagi penganalisis politik Dr Jeniri Amir, beliau mempunyai pandangan bahawa sembilan perkara utama akan diumumkan Abang Johari dalam manifesto BN di negeri itu.

    Katanya, isu hak autonomi akan menjadi perkara pertama dan menerajui manifesto BN Sarawak dalam pilihan raya umum kali ini, diikuti isu pendidikan seperti sekolah daif serta penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran di negeri itu.

    "Hak masyarakat Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 akan terus diberi keutamaan oleh Abang Johari dalam manifesto BN kali ini. Perkara ini adalah isu pokok yang akan meningkatkan pola pengundian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

    Selain isu hak autonomi Sarawak, Jeniri percaya manifesto itu akan mengambil kira pembinaan jajaran pengangkutan yang sistematik, pembinaan rumah mampu milik, bekalan air dan eletrik, terutama di kawasan luar bandar.

    Ujarnya, tidak terkecuali, tanah adat bumiputera serta kemudahan-kemudahan infrastruktur di luar bandar turut menarik perhatian.

    Apa rakyat Sarawak mahu dengar

    Pastinya, rakyat Sarawak juga tertunggu-tunggu pelancaran manifesto oleh Abang Johari ini. Adakah manifesto untuk lima tahun akan datang ini bakal merubah kehidupan rakyat untuk sama-sama 'untung', sekali gus kebajikan juga terus terbela?

    Sehubungan itu, isu kos sara hidup merupakan intipati manifesto yang amat dinantikan rakyat negeri Bumi Kenyalang ini.

    Malah, pola pengundian juga dlihat bergantung kepada usaha kerajaan negeri mengurus tadbir ekonomi Sarawak serta memberikannya semula kepada rakyat.

    "Rakyat tidak mahu terus terbeban dengan kos sara hidup. Apa yang mereka mahu adalah kos sara hidup akan dapat diselesaikan.

    "Selain itu, rakyat juga menunggu manifesto BN Sarawak berhubung pengangkutan dan rumah mampu milik. Kedua-dua perkara ini berkait rapat dengan kos sara hidup."

    Pengundi bandar dan luar bandar

    Kerajaan BN Sarawak juga berdepan kekangan setiap kali pilihan raya umum bermula.

    Jeniri berpendapat segala manifesto yang bakal dilancarkan Abang Johari petang ini, termasuk mengambil kira hak autonomi Sarawak serta kos sara hidup rakyat, akan meningkatkan pola pengundian di luar bandar.

    Namun, ia belum ‘cukup’ untuk (meningkatkan) pola pengundi di bandar.

    "Saya percaya, bagi pengundi di bandar, mereka tidak terpengaruh dengan semua itu (manifesto).

    "Mereka lebih melihat kepada isu nasional, isu rasuah dan salah guna kuasa, isu urus tadbir, isu kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya.

    Sehubungan itu, kita tunggu dan lihat, adakah pelancaran manifesto BN Sarawak oleh Abang Johari petang ini boleh meniup semangat kemenangan untuk BN di Sarawak pada PRU14 seperti mana kemenangan besar pada PRN11. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Mampukah Manifesto BN Sarawak Cipta Kemenangan Besar PRU14? "