• Malaysia negara yang dirahmati, kata Duta China

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 2 April 2018
    A- A+
    JOHOR BAHRU – Duta China ke Malaysia Bai Tian menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dirahmati dengan kurniaan ramai penduduk berbakat dan beliau bersedia mempromosikan negara ini terutamanya Johor Bahru, bagi menarik kedatangan lebih ramai pelawat dan syarikat dari China.

    Bai yang tiba di negara ini empat bulan lepas setelah dilantik ke jawatan itu pada November tahun lalu, berkata Malaysia sememangngya menggambarkan Asia dengan semua kaum saling menghormati kebudayaan masing-masing serta hidup dengan harmoni.

    “Saya tahu ada peribahasa Melayu yang berbunyi ‘tak kenal maka tak cinta’ dan semakin lama saya tinggal di sini semakin saya menyukai negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menikmati makanan jalanan seperti sate, bubur ‘Teowchew’ ala Melayu dan roti canai di gerai makanan di Taman Sentosa, di sini semalam.

    Bai berkata Malaysia boleh menjadi model peranan dari segi perpaduan kaum memandangkan persekitaran ‘harmoni dalam kepelbagaian’ merupakan suatu yang jarang dilihat di dunia ini.

    “Sebagai Duta China ke Malaysia, saya ada tanggungjawab untuk mempromosikan China kepada rakyat Malaysia dan juga sebaliknya,” kata Bai.

    Sehubungan itu katanya, beliau berharap dapat mempromosikan Johor Bahru kepada rakyat China menerusi lawatannya kali ini bagi menggalakkan mereka melawat atau melabur memandangkan terdapat potensi pembangunan yang besar di sini.

    Bai berkata beliau difahamkan Johor Bahru menarik sekitar 800,000 hingga 900,000 pelawat China bagi tempoh 2016 dan 2017 dan beliau yakin angka itu melangkaui sejuta orang pada tahun ini.

    Mengenai lawatan tiga hari beliau ke Johor bermula hari ini, Bai melawat D&Y Textile (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Sedenak, Muzium Warisan China, Greenland Jade Place dan Forest City hari ini.

    Beliau dijadualkan melawat Wilayah Pembangunan Iskandar dan Sekolah Tinggi Foon Yew esok serta menghadiri majlis pecah tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru pada Selasa.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia negara yang dirahmati, kata Duta China "