• Mahu beri 5,000 coli percuma, rupanya poster palsu!

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+
    PETALING JAYA: “Jom pi periksa dada, terus dapat sarung dada” slogan pada sebuah poster yang didakwa mempromosikan pemberian baju dalam wanita secara percuma tular di media sosial.

    Maklumat pada poster itu mendakwa mahu mengedarkan 5,000 baju dalam percuma pada majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 15 April ini.

    Ia turut memaparkan gambar seorang lelaki memakai kemeja Barisan Nasional (BN) dengan nama ‘Dato Sri Hj Ustaz Amran bin Nordin’, dan tertera jawatannya yang didakwa sebagai Pengerusi Barisan BN Permatang Pauh.

    Fakta itu sama sekali tidak benar kerana Pengerusi Barisan BN Permatang Pauh adalah Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang juga Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh.

    Malah halaman Facebook Pergerakan Pemuda Umno Permatang Pauh pada Rabu malam menjelaskan bahawa poster ‘baju dalam percuma itu’ adalah palsu, malahan turut menunjukkan poster sebenar iaitu ‘5,000 cermin mata percuma’ dengan butiran acara sama dengan memaparkan wajah Mohd Zaidi.

    Bercakap kepada mStar Online, Mohd Zaidi berkata, poster palsu itu merupakan perbuatan berbentuk penghinaan bukan sahaja kepada BN Permatang Pauh tetapi juga pengundi-pengundi wanita di kawasan itu.

    “Ini lebih kepada tindakan terdesak pihak tertentu yang mungkin rasa terancam dengan program-program yang kita buat selama ini.

    “Program pemberian cermin mata ini telah heboh diperkatakan, mungkin ia memberi kesan kepada pihak tertentu yang tidak senang dengan program bantuan yang kita buat dan cuba memalukan pihak kita,” katanya.

    Ditanya sama ada ia merupakan satu tindakan sabotaj kepada calon Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Zaidi hanya memberitahu tindakan tidak bertanggungjawab itu lebih kepada mahu menjejaskan imej BN.

    “Dalam keadaan hari ini, kita menuntut politik yang lebih matang. Pihak-pihak membuat cara berpolitik seperti ini tidak membawa apa-apa keuntungan, sebaliknya akan menimbulkan rasa marah dan terhina terutama dalam kalangan orang-orang di Permatang Pauh.

    “Banyak pihak akan tahu bahawa ia adalah palsu dan dibuat semata-mata untuk memalukan,” katanya.

    Mohd Zaidi bagaimanapun menjelaskan beliau tidak mengenali individu yang dipaparkan dalam poster yang palsu berkenaan.

    Namun katanya, seorang lelaki yang mendakwa dirinya di dalam poster berkenaan telah menghubunginya pada Rabu malam dan memohon maaf berhubung isu tersebut yang mungkin dijadikan bahan gurauan pihak tertentu.

    “Saya tak kenal siapa dia, cuma dia maklumkan kepada saya bahawa gambar dan nama dia dah digunakan, dan akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

    “Kita juga akan buat laporan polis pada pukul 12 tengah hari ini di Ibu Pejabat Polis Dareah (IPD) Seberang Perai Tengah. Terserah kepada pihak polis untuk buat siasatan,” katanya. - MSTAR

    Subjects:

  • No Comment to " Mahu beri 5,000 coli percuma, rupanya poster palsu! "