• Mahkamah tak benar permohonan Dr M berhubung panel RCI

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 23 April 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperoleh kebenaran memfailkan rayuan mencabar pelantikan pengerusi dan anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing dialami Bank Negara sekitar 1990-an.

    Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif yang mempengerusikan panel 3 hakim itu berkata mahkamah berpendapat tidak salah pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang daripada anggota, Tan Sri Saw Choo Boon menganggotai panel RCI walaupun mereka berada dalam pasukan petugas khas.

    Dua orang lagi hakim yang bersidang dalam panel tersebut ialah Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Ramly Ali.

    Dr Mahathir memohon kebenaran merayu Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan bagi kebenaran untuk semakan kehakiman membatalkan keputusan RCI yang menolak permohonannya melucutkan kelayakan Mohd Sidek Hassan dan Saw daripada menganggotai panel tersebut.

    Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos tahun lepas menolak permohonan bekas perdana menteri itu.

    Dr Mahathir merayu kepada Mahkamah Rayuan yang kemudian menolak rayuan itu pada 13 Disember tahun lepas.

    Pada 9 Ogos tahun lepas, Dr Mahathir memfailkan permohonan memulakan semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan Mohd Sidek selaku pengerusi Petroliam Nasional Bhd dan Saw, yang merupakan pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemandu) daripada menganggotai, masing-masing sebagai pengerusi dan anggota RCI.

    Beliau menamakan anggota RCI iaitu Mohd Sidek, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said, ketua pegawai eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, Saw dan anggota Institut Akauntan Malaysia, K Puspanathan, setiausaha RCI Datuk Dr Yusof Ismail dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

    Dalam permohonan bagi kebenaran, Dr Mahathir juga memohon perintah mandamus untuk kerajaan atau Kabinet menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pelantikan Mohd Sidek dan Saw sebagai anggota RCI.

    Beliau memfailkan permohonan itu atas alasan RCI melanggar hak keadilan semulajadi kerana Mohd Sidek dan Saw juga anggota pasukan petugas bertanggungjawab bagi siasatan yang mengemukakan cadangan untuk menasihatkan Kabinet bagi menubuhkan RCI.

    Dr Mahathir diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla sementara peguam kanan persekutuan Alice Loke Yee Ching mewakili responden. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah tak benar permohonan Dr M berhubung panel RCI "