• Lengkapkan Diri Dengan Kemahiran Teknologi

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 22 April 2018
    A- A+

    KUCHING – Para pelajar perlu menguasai teknologi terkini untuk menghadapi persaingan sengit yang muncul dalam bentuk Revolusi Industri 4.0 yang sedang hebat melanda serata dunia.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini kerana bagi kalangan yang menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran teknologi, mereka akan menjadi kelompok yang lebih berdaya saing, aset penting kepada pembangunan negara.

    Beliau berkata persaingan di masa hadapan akan menjadi lebih sengit dan sekiranya generasi muda terutamanya kalangan para pelajar tidak menguasai teknologi sebaik mungkin, mereka akan ketinggalan dan negara menanggung akibatnya.

    “Dunia sekarang semua aspek beralih kepada revolusi teknologi sama ada pendidikan, ekonomi, industri dan sebagainya. Ini satu keperluan yang harus dipandang serius agar generasi muda kita setanding dengan keperluan dunia,” katanya.

    Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya berkata demikian semasa berucap pada Program ‘School Attack’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi di sini, hari ini, yang turut dihadiri Angkasawan Kedua Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed.

    Fadillah berkata menerusi Transformasi Nasional 50 (TN50) beliau pasti aspirasi untuk membangunkan pendidikan negara khususnya membabitkan pengguna teknologi dalam masa 30 tahun lagi akan tercapai sekiranya generasi muda mula melengkapi diri sejak dari peringkat awal lagi. – BERNAMA
  • No Comment to " Lengkapkan Diri Dengan Kemahiran Teknologi "