• Lelaki Bunuh Diri Dedah Pernah Dirogol Guru Besar

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 23 April 2018
    A- A+

    SEORANG lelaki yang telah membunuh diri bulan lepas, telah mengejutkan ramai selepas dia meninggalkan sebuah video, yang mendedahkan bagaimana dia dirogol oleh guru besarnya ketika kecil.

    Rick Martin, 60, yang menghidap penyakit paru-paru, merakamkan video itu ketika memutuskan untuk membunuh diri di sebuah bandar kecil di Alaska, pada 11 Mac lalu.

    Dia merakamkan video itu menerusi telefon bimbitnya yang mendedahkan bagaimana Karl Ward, telah merogolnya sejak berdekad-dekad lalu.

    Video itu mengesahkan khabar angin yang bertiup di pekan kecil tersebut selama ini.

    Video itu juga memberikan keyakinan kepada sekurang-kurangnya empat lelaki iaitu Craig Loomis, Robert Brouillette, Nick Kokotovich dan Roger Schnabel, yang mendakwa mereka turut dirogol oleh Ward, tampil ke khalayak ramai.

    Craig yang mula-mula tampil berkata, Ward akan menjemput pelajar ke rumahnya dan menawarkan mereka alkohol. Dalam satu kunjungan, Craig mendakwa Ward melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

    “Saya sepatutnya menyatakan perkara ini 30 atau 40 tahun lalu. Kami tak tahu bagaimana hidup mereka yang menderita akibat perbuatan ini, jika kami membongkarkan benda ini dulu,” katanya yang turut memaklumkan mereka telah memberitahu kepada guru mereka mengenai kejadian tersebut tetapi tidak diendahkan.

    Ward bagaimanapun telah meninggal dunia 21 tahun lepas. Dia selama ini merupakan tokoh yang dihormati di pekan itu hinggakan namanya diabadikan di sebuah gim di sekolah menengah.

    Dia meninggal dunia pada 1997 dan isterinya kini ditempatkan di sebuah pusat jagaan orang tua.

    Isterinya enggan bertemu dengan wartawan namun memaklumkan kepada pembantu pusat itu supaya memberitahu orang ramai bahawa dia terkejut dengan perkara itu. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Bunuh Diri Dedah Pernah Dirogol Guru Besar "