• Lee Kim Shin Yakin Kerusi Miri Dapat Ditawan Semula

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 27 April 2018
    A- A+


    MIRI: Naib Presiden SUPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pilihan Raya Parlimen Miri Datuk Lee Kim Shin berkata pasukannya yakin dapat menawan semula Miri di samping menyeru sokongan daripada rakyat khususnya pengundi Miri.

    Menurutnya, jentera Barisan Nasional (BN) bagi kerusi P219 Miri yang diterajui SUPP Miri, bersedia ‘menggempur’ habis-habisan dalam tempoh 11 hari terakhir sebelum hari mengundi pada 9 Mei kelak untuk memberi sokongan kepada calon BN Datuk Sebastian Ting.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, meskipun jawatankuasa operasi itu ditubuhkan pada hujung tahun lalu, namun pasukan SUPP sudah lama bergerak di peringkat akar umbi.

    “Walaupun kami tidak memberitahu anda (setiap hari) apa yang kami lakukan, tidak bermakna kami tidak bekerja.

    “Ini kerana hampir setiap hari, sejak lebih setahun lalu, pasukan SUPP di sini sudah turun padang bertemu dengan rakyat di peringkat akar umbi.

    “Kami memberi khidmat kami setiap masa tanpa menunggu tempoh berkempen ini, oleh itu sama ada pilihan raya atau bukan pilihan raya, bagi kami tiada bezanya, kami tetap berkhidmat dan bekerja keras untuk rakyat,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, tempoh 11 hari yang diberikan untuk berkempen sebenarnya tidak mencukupi jika benar-benar mahu berkempen.

    Beliau memberitahu, apa yang penting ialah pencapaian cemerlang kami sepanjang tahun lalu, yang dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat.

    “Anda sudah pun memberi lima tahun lalu kepada pembangkang dan anda boleh lihat sendiri ‘perubahan’ yang berlaku, kini anda boleh nilaikan sendiri,” katanya.

    Terdahulu, Lee telah menyerahkan borang penamaan calon yang telah dibelinya kepada bakal calon BN-SUPP bagi kerusi P.219 Miri Datuk Sebastian Ting.

    Menjelang penamaan calon, Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, akan diiringi Lee dan Timbalan Speaker DUN Datuk Gerawat Gala, menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Miri. – Sarawakiana
  • No Comment to " Lee Kim Shin Yakin Kerusi Miri Dapat Ditawan Semula "