• KPDNKK Sarawak Rampas Barang Dagangan RM280,751

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 16 April 2018
    A- A+

    KUCHING – Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak merampas pelbagai barang dagangan bernilai lebih RM280,751 dalam pemeriksaan ke atas 12,359 premis perniagaan sejak awal tahun ini.

    Ketuanya Abdul Hafidz A. Rahim berkata pemeriksaan yang dijalankan antara 1 Januari dan 10 April lepas itu membabitkan 9,377 premis perniagaan di kawasan bandar dan 2,982 di luar bandar di seluruh Sarawak.

    Beliau berkata dalam tempoh itu juga 127 kes membabitkan peniaga dikenakan tindakan undang-undang atas pelbagai kesalahan direkodkan, selain dikenakan kompaun pelbagai kesalahan, yang menjangkau jumlah RM12,950.

    Katanya antara kesalahan yang dikesan termasuk pelanggaran undang-undang mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Pelindungan Pengguna 1999.

    Abdul Hafidz berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Hari Penguatkuasa ke-46 KPDNKK peringkat negeri dan acara ringkas sempena majlis perpisahan beliau, di ibu pejabat kementerian itu di sini mulai hari ini dan tempatnya bakal diambil alih oleh Mohd Nawawi Abdul Rahman. – BERNAMA
  • No Comment to " KPDNKK Sarawak Rampas Barang Dagangan RM280,751 "