• Kos Sara Hidup, Isu Popular Di Hati Pengundi

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 24 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Rata-rata pengundi kawasan bandar sekitar Pandan dan Ampang di sini berpendapat isu bebanan kos sara hidup adalah keutamaan dalam menilai manifesto mana-mana parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Cheras Baru, Elly Haiza Johari, 52, berkata, manifesto yang dibawa Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Selangor bersifat lebih mesra dan tertumpu kepada isu sebenar dihadapi rakyat negeri maju itu berbanding pembangkang dengan janji tidak rea­listik.

    Katanya, 10 perkara terkandung dalam manifesto BN antaranya perumahan sejahtera dan mampu milik serta kesejahteraan hidup masyarakat bandar melalui pengangkutan awam yang cekap dan mampu bayar adalah antara perkara yang ditunggu-tunggu rakyat.

    “Ini tidak terlihat dalam manifesto milik pembangkang yang masih hanya menyentuh cara menangani kenaikan kos sara hidup melalui penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diulang laungkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Manifesto BN yang bertemakan “Better Selangor, Yakinlah BN Lebih Baik” itu adalah komitmen mereka menyelesaikan masalah air di Selangor serta peluang pendidikan percuma di semua sekolah rendah agama (SRA) negeri antara yang mencuri tumpuan.

    Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Cawangan Ampang, Mohd. Azwan Zainuddin, 34, berkata, harapan majoriti rakyat khusus­nya Selangor adalah kaedah percukaian yang lebih saksama akan dilaksanakan mana-mana parti yang membentuk kerajaan kelak.

    “Penindasan dan tekanan di­sebabkan faktor kos sara hidup tinggi terhadap mana-mana go­longan rakyat seharusnya dielakkan agar kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan dan pada masa sama enjin ekonomi negara diteruskan bagi menjana pendapatan negara.

    “Kaedah sedia ada perlu diperhalusi terutamanya sistem percukaian serta aspek pendidikan dan perumahan mampu milik agar peluang kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah terutamanya belia,” katanya.

    Bagi pemandu teksi, S. Mur­thi, 58, berkata, manifesto yang dilancarkan pakatan pembangkang hanya dipenuhi dengan janji-janji palsu serta dilihat tidak re­levan dan sukar dilaksanakan.

    “Kesepakatan antara pim­pinan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan tidak selari dan mendatangkan lebih banyak keburukan seperti lambakan per­niagaan yang di­kuasai warga asing di sekitar Ampang amat mengecewakan,” jelasnya.

    Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, Muhammad Ali Lee Abdullah, 50, peluang ekonomi dan pekerjaan amat penting bagi pembangunan sesebuah negara membangun dan melihat kepada keadaan itu katanya, kerajaan pusat telah melakukan yang terbaik bagi menarik pelabur asing membangunkan projek-projek mega di ibu negara.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kos Sara Hidup, Isu Popular Di Hati Pengundi "