• Komanwel 2018: Tiada Tekanan Bagi Nicol Buru Emas Ke-3

    Reporter: M. H. W.
    Published: Tuesday, 3 April 2018
    A- A+

    GOLD COAST – Ratu skuasy Malaysia Datuk Nicol David berkata beliau tidak menghadapi sebarang tekanan dalam usahanya untuk memburu pingat emas negara buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

    Nicol, 34, kini menduduki ranking keenam dunia, Sukan Komanwel kali ini merupakan penyertaan keenam baginya tetapi buat kali pertama sejak Manchester 2002, Nicol bukan pemain pilihan utama kejohanan.

    “Bagi saya, sebagai pemain pilihan ketiga, tiada apa yang membimbangkan saya. Saya mahu mempamerkan aksi bertenaga pada awal perlawanan dan lihat sejauh mana saya boleh bertahan.

    “Ia adalah bonus bagi saya berpeluang menyertai sukan ini. Dan dapat mewakili Malaysia, saya akan berusaha tonjol yang terbaik. Saya mahu beraksi dengan tenang dan hasilnya pasti positif,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sesi latihan atlet Malaysia di Oxenford Studios.

    Nicol yang dibimbing jurulatih dari Australia, Liz Irving, telah berpeluang beraksi di gelanggang kaca tempat berlangsungnya acara itu, beberapa minggu yang lepas.

    “Saya telah berada di sini selama dua minggu. Saya mahu sesuaikan diri dengan gelanggang kaca ini dan gelanggang sebelah jadi saya dapat beraksi dengan baik pada awal perlawanan,” katanya.

    Pembabitan sulung pemain kelahiran Pulau Pinang ini dalam Sukan Komanwel ketika berusia 14 tahun pada 1998 di Kuala Lumpur. Beliau kemudiannya melakar rekod sebagai pemain No. 1 dunia selama 108 bulan (2006-2015) dalam ranking skuasy wanita dunia dan tidak pernah tewas dalam 56 perlawanan pada 2009.

    Beliau merangkul pingat emas dalam acara perseorangan pada temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi dan Glasgow 2014.

    Nicol yang mendapat bye pada pusingan pertama sebelum bertemu lawannya sama ada Colette Sultana dari Malta atau pemain dari Pulau Cayman, Samantha Hennings pada pusingan kedua.

    Beliau harus bertahan dalam kelompok 16 pemain terbaik, untuk bertemu atlet Kanada, Samantha Cornett manakala pemain pilihan kelima dari England, Alison Waters dijangka lawannya pada peringkat suku akhir.

    Selain Nicol, atlet wanita Malaysia yang menyertai acara perseorangan adalah pemain No. 2 negara S. Sivasangari dan Aifa Azman.

    Sangari dijangka bertemu pemain Scotland, Alison Thomson manakala Aifa akan menentang pemain Scotland, Lisa Atken selepas kedua-duanya mendapat bye pada pusingan pertama.

    Acara perseorangan wanita bermula di Oxenford Studios pada 5 April. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Komanwel 2018: Tiada Tekanan Bagi Nicol Buru Emas Ke-3 "