• KKMM Sumbang RM5j Kepada Projek Smart ICT UMS

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 20 April 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membantu membiayai Projek Smart Infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dnegan pembiayaan permulaan sebanyak RM5 juta.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata projek itu akan merangkumi pemasangan rangkaian fiber menghubungkan bangunan dan premis selain pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik bertujuan memantau keselamatan di dalam kampus UMS.

    “Rangkaian fiber dan komponen keselamatan yang akan dibangunkan dilihat mampu membantu pihak pentadbiran UMS merealisasikan pelaksanaan Kampus Pintar (Smart Eco UMS 4.0) bagi menjamin persekitaran selamat dalam kalangan warga UMS serta bakal menjadi platform berpusat pemprosesan insiden dan analisis data.

    “Usaha sebegini yang dibangunkan di UMS sememangnya mampu menjadikan universiti ini sebagai model dan rujukan dalam pembangunan teknologi digital, mempertingkatkan keberkesanan penyampaian maklumat, seterusnya mempromosikan UMS sebagai destinasi utama pengajian tinggi di negara ini,” katanya ketika melancarkan projek itu di sini.

    Salleh berkata beliau optimis dan yakin penambahbaikan infrastruktur ICT yang dilakukan itu akan dimanfaatkan sebaiknya oleh warga UMS.

    Menurutnya, ia sejajar dengan matlamat kerajaan ke arah menuju negara pintar dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

    Salleh turut berharap pihak universiti dan pelajarnya meningkatkan pengetahuan sesuai dengan perkembangan semasa, khususnya berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), untuk lebih maju pada masa depan.

    Jelasnya, Malaysia tidak boleh lari daripada kemajuan ICT terkini untuk setanding dengan negara maju lain.

    “Jika ilmu tidak meningkat, kita tidak dapat mendidik anak bangsa dan juga tidak boleh menyumbang pada hari ini dan masa depan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " KKMM Sumbang RM5j Kepada Projek Smart ICT UMS "