• Kerajaan beri tanah, bina jalan bantu penduduk program penempatan semula Bakun

    Published: Thursday, 5 April 2018
    A- A+
    BELAGA, 5 April (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan RM76 juta untuk memberikan tanah seluas 1.21 hektar kepada setiap penduduk yang terlibat dengan program penempatan semula di Bakun susulan pembangunan Stesen Janakuasa Elektrik Hidro Empangan Bakun.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau juga meluluskan peruntukan RM9 juta bagi membina jalan-jalan ladang di kawasan berkenaan, khusus untuk kemudahan mereka.

    Beliau berkata dengan pemberian tanah serta penyediaan rangkaian jalan ini, diharapkan ia dapat membantu menambah sumber rezeki mereka yang terlibat, dan membangunkan pertumbuhan ekonomi setempat dengan lebih pesat.

    "Stesen janakuasa ini kita berikan kembali kepada Sarawak kerana saya lihat ia munasabah, kerana ia dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, " katanya semasa berucap di majlis penyerahan stesen janakuasa elektrik hidro Bakun, di sini hari ini.

    Pengurusan stesen janakuasa ini diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Sarawak susulan pembelian saham 100 peratus Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB) milik Kementerian Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan oleh Sarawak Energy Bhd dengan nilai RM2.5 bilion, pertengahan Ogos lepas.

    Najib berkata beliau juga melihat keperluan tenaga di Sarawak kini telah melonjak kepada 3,500MW berbanding sekitar tahun 2009, ekoran pembangunan ekonomi yang pesat di negeri ini.

    Menurutnya dengan pemilikan stesen janakuasa ini, ia bukan sahaja boleh menawarkan tarif elektrik yang rendah untuk rakyat tempatan, malah berjaya menarik ketibaan pelabur dengan lebih rancak.

    "Banyak industri menggunakan tenaga yang tinggi, mereka akan memilih untuk melabur di Sarawak ini. Sebagai perbandingan kos elektrik di Sarawak adalah terendah, yakni 28.2 sen kwj (kilowatt-jam) berbanding 39.45sen kwj di Semenanjung dan 34.5 sen di Sabah, " katanya.

    "Jadi Sarawaklah yang dapat manfaat daripada tarif elektrik yang terendah, sebab itu banyak syarikat yang guna tenaga tinggi seperti kilang-kilang yang membuat aluminuam dan sebagainya memilih untuk melabur di SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak), " tambahnya.

    Najib berkata beliau turut berbangga dengan pembinaan stesen janakuasa eletrik hidro di Sarawak kerana ia selaras dengan usaha dan komitmen negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus sebagaimana yang diumumkan beliau pada Persidangan Paris.

    Perdana Menteri berkata projek ini juga memperlihatkan kerjasama yang erat antara kerajaan pusat dan negeri berlandaskan kepada situasi menang-menang , di mana kerajaan pusat memperoleh sumber kewangan daripada aset ini, manakala Sarawak memperoleh projek mega untuk membangunkan negeri.

    Beliau seterusnya meminta seluruh penduduk di Bumi Kenyalang ini supaya menolak pembangkang di Sarawak, dengan merujuk kepada kata-kata pemimpin mereka yang pernah memimpin negara selama 22 tahun sebelum ini, yang mendakwa orang Sarawak pemalas, tamak dan lembap.

    Kalau saya setuju dengan kata-kata ini, saya tidak akan serahkan empangan Bakun ini untuk diuruskan oleh orang Sarawak, katanya.

    Katanya tiga cara bagaimana rakyat Sarawak boleh membuktikan kehebatan meraka dan menolak tohmahan itu adalah dengan cara menguruskan Bakun dengan cemerlang, membangunkan Sarawak dengan pesat dan menolak pembangkang yang diketuai pemimpin yang mencemuh orang Sarawak.

    Turut hadir di majlis hari ini ialah Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Tan Sri James Jemut Masing, Pengerusi Sarawak Energy Bhd (SEB) Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB Sharbini Suhaili. -- BERNAMA
  • No Comment to " Kerajaan beri tanah, bina jalan bantu penduduk program penempatan semula Bakun "