• Kepercayaan dibina bertahun, hancur sekelip mata- Shahril

    Published: Friday, 6 April 2018
    A- A+
    SEBUAH institusi awam hanya berkesan apabila semua pemegang taruh meletakkan kepercayaan kepada mereka di tempat tertinggi.

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mewakili 14 juta ahli dan hampir kesemuanya adalah rakyat Malaysia.

    Hari ini, kami menguruskan lebih RM800 bilion aset persaraan mereka.

    Melindungi dan mengembangkan dana yang besar ini adalah satu tanggung jawab yang terpikul di bahu pasukan KWSP dengan ditunjangi visi untuk membantu para ahli mencapai masa depan yang lebih baik.

    Kami tahu setiap ahli dan majikan yang menyumbang ke dalam akaun KWSP mengharapkan yang terbaik dari kami.

    Bukan setakat perlu menguruskan dana tetapi kami juga perlu melayani ahli- ahli setiap hari di cawangan-cawangan serta pelbagai saluran atas talian yang lain.

    Sesiapa yang berpeluang menggunakan perkhidmatan KWSP pastinya maklum bahawa kami sangat berbangga dengan perkhidmatan berkelas dunia yang ditawarkan, sejak krisis kewangan 2008. Kami telah melangkaui sasaran pulangan tahunan serta menyediakan pertumbuhan yang diselaraskan dengan inflasi sebenar kepada simpanan ahli.

    Disebabkan ini, kami sering menjadi sasaran pihak yang tidak bertanggung jawab untuk menggugat kepercayaan rakyat dengan bertindak menyebarkan khabar angin dan teori konspirasi demi agenda mereka sendiri.

    Sudah tidak terkira berapa kali KWSP dituduh melakukan penyelamatan kepada kerajaan dan ahli-ahli kami juga telah ditipu oleh skim penipuan dalam talian.

    Perkara ini semakin menjadi-jadi menjelangnya musim ini pilihanraya apabila nama KWSP digunakan untuk menyebarkan agenda politik dan cuba mempengaruhi ahli-ahli kami yang ramai.

    Sesiapa yang memulakan dan menyebarkan cerita palsu itu tidak pernah peduli dengan perasaan 5,000 kakitangan kami menyerahkan jiwa dan raga mereka bagi memastikan perkhidmatan terbaik boleh diberikan kepada ahli di samping melindungi simpanan mereka.

    Mahal harga yang perlu dibayar apabila tindakan mementingkan diri dengan menyerang reputasi KWSP dan memperjudikan keyakinan terhadap kami ini dilakukan.

    Terlalu banyak sumber dan usaha perlu diambil untuk mengurus dan memperbaiki kerosakan yang diakibatkan oleh serangan-serangan tersebut.

    Ia juga menyebabkan aktiviti pelaburan kami menjadi lebih mahal kerana kos “due diligence” yang meningkat.

    KWSP juga kadangkala dilihat sebagai proksi kepada negara dan persepsi negatif kepada organisasi ini turut memberi tempias kepada reputasi Malaysia secara keseluruhannya.

    Berita-berita palsu mengenai Malaysia ini memberi impak kepada reputasi kami di pasaran global.

    Tahun lepas, terdapat satu “berita” yang disebarkan melalui online dan WhatsApp mengatakan kerajaan memberikan insentif tunai kepada semua warga emas melalui KWSP.

    Hasilnya, semua cawangan kami dibanjiri warga emas dan ahli keluarga mereka yang mengharapkan wang yang tidak wujud itu.

    Ini menyebabkan operasi harian kami yang selama ini sangat efisyen terganggu apabila kakitangan kaunter terpaksa bekerja berkali ganda untuk melayani para pelanggan yang memenuhi setiap ruang pejabat cawangan.

    Saya merasa simpati kepada warga emas yang terpaksa membuang masa, wang dan datang dari jauh untuk ke cawangan-cawangan KWSP, malah ada sesetengahnya menggunakan kerusi roda demi sesuatu yang sia-sia.

    Setiap kali ada berita palsu mengenai nominasi atau peraturan peluaran atau janji palsu dibuat, para ahli dan majikan terpaksa membazirkan masa emas mereka untuk cuba mendapatkan penjelasan daripada kami sama ada secara peribadi datang ke cawangan-cawangan yang ada atau menelefon pusat panggilan kami.

    Berita palsu mempunyai kesan yang hebat ke atas masa dan keputusan kewangan seseorang. Walaupun kami sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada para ahli (dan kakitangan kami terpaksa mempamerkan senyuman dan bersabar setiap kali cerita-cerita sebegini muncul), bayangkan berapa produktifnya negara kita jika manusia sebegini tidak perlu membuang masa melayan perkara bodoh.

    Walau apa pun kritikan terhadap Akta Anti Berita Tidak Benar 2018, saya boleh faham mengapa kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk mengadakan satu undang-undang kerana persekitaran tidak terkawal ini, di mana golongan ini (sama ada berniat jahat atau sebaliknya) kadang kala boleh menjadi suara terbesar.

    Di dalam era digital ini, kesemua daripada kita perlu memikul tanggung jawab dan akauntabiliti peribadi untuk menentukan apa yang kita mahu siarkan.

    Saya rasa undang-undang ini tidak perlu jika manusia kita memegang prinsip yang mudah dalam membuat atau menyebarkan sesuatu maklumat; apabila tidak benar, tidak baik ataupun tidak membantu, lebih baik diam dan tidak menyebarkannya.

    * Datuk Shahril Ridza Ridzuan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

    - TheRakyat

    Subjects:

  • No Comment to " Kepercayaan dibina bertahun, hancur sekelip mata- Shahril "