• Kepelbagaian Kaum Bukan Penghalang Pelajari Adat Tradisi Kaum Lain: Fatimah

    Reporter: Anyin Ayeng
    Published: Sunday, 1 April 2018
    A- A+


    MUKAH: Kepelbagaian kaum di Sarawak bukan penghalang untuk sesuatu kaum mempelajari adat tradisi kaum lain.

    Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau kagum dengan kanak-kanak di peringkat bangku sekolah yang dapat menguasai tarian pelbagai etnik di negeri ini.

    “Kita dapat lihat kanak-kanak ini menari tarian pelbagai suku kaum di Sarawak, bukan hanya kuasai satu jenis tarian,” katanya pada perasmian Pesta Kaul Kampung Sungai Ud, Dalat pagi semalam.

    Perkara itu katanya, adalah sesuatu yang baik dan membuktikan keharmonian kaum di Sarawak.

    “Bukan sahaja tarian Melanau, malah tarian kaum Iban, Orang Ulu dan lain-lain tarian turut dapat dipersembahkan dengan baik,” jelasnya.

    Mengenai Pesta Kaul, Fatimah memberitahu ia adat tradisi kaum Melanau yang harus dipelihara.

    “Bukan sahaja sambutan Kaul, namun kita juga mahu adat istiadat pertunangan, perkahwinan dan lain-lain dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” ujarnya. Fatimah berkata, ia antara sebab Galeri Warisan Dalat diwujudkan iaitu menyimpan khazanah serta kekayaan adat istiadat serta tradisi dan sejarah Dalat. 

    Sementara itu, beliau menyeru penduduk agar mengekalkan semangat kerjasama demi kebaikan semua pihak terutama untuk generasi baharu.

     Kestabilan semua aspek terutama sosial, ekonomi dan politik amat kritikal bagi menyuburkan keharmonian serta perpaduan dicapai sehingga kini, katanya.-Utusan Borneo
  • No Comment to " Kepelbagaian Kaum Bukan Penghalang Pelajari Adat Tradisi Kaum Lain: Fatimah "