• Kenyataan penuh SPR nafi enggan berbincang isu penggunaan logo dan simbol pada PRU14

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 17 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Berikut adalah kenyataan penuh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikeluarkan hari ini berhubung dakwaan pihak tertentu kononnya SPR enggan bertemu bagi membincangkan mengenai penggunaan logo dan simbol parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana terlalu sibuk.

    SPR Sedang Perincikan Garis Panduan Proses PRU14.

    1. SPR menafikan kenyataan pihak tertentu yang kononnya badan ini menolak untuk berjumpa mereka bagi membincangkan tentang penggunaan logo dan simbol pada PRU14 kerana terlalu sibuk. Dalam hal ini, SPR ingin menjelaskan bahawa Pejabat Penasihat Undang-Undang telah menerima surat secara serahan tangan oleh wakil pihak berkenaan pada 12 April 2018 (Khamis) dan cadangan tarikh untuk mengadakan pertemuaan pada 16 April 2018 (Isnin), jam 10.00 pagi. Untuk penjelasan lanjut cadangan pertemuan itu adalah dengan Penasihat Undang-Undang.

    2. Walaubagaimana pun, pada hari yang sama Pejabat Penasihat Undang-Undang telah memberi maklum balas segera dengan menyatakan bahawa tarikh yang dicadangkan itu tidak dapat dipenuhi disebabkan beliau akan menghadiri perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang.

    3. Dalam maklum balas tersebut juga pihak Pejabat Penasihat Undang-Undang turut memaklumkan bahawa perkara-perkara yang ingin dibincangkan itu sedang dalam proses untuk dimuktamadkan oleh SPR dan akan dimaklumkan kepada semua pihak yang berkepentingan khususnya parti-parti politik dalam masa terdekat dan berharap pihak terbabit menunggu pemakluman rasmi oleh SPR.

    4. Pendekatan rasional ini diambil kerana beliau berpendapat isu yang ditimbulkan oleh parti berkenaan juga melibatkan parti-parti lain. Maka atas dasar untuk memberi penerangan dan penjelasan yang tidak hanya tertumpu kepada parti tersebut sahaja adalah wajar makluman dan hebahan secara rasmi dikeluarkan oleh SPR dan bukan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang.

    5. Dalam menilai keseluruhan isu-isu yang timbul adalah wajar pihak-pihak terbabit memberi ruang kepada SPR untuk mencapai satu keputusan yang tepat dan terbaik demi kepentingan semua pihak.

    Sekian dan terima kasih.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

    Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kenyataan penuh SPR nafi enggan berbincang isu penggunaan logo dan simbol pada PRU14 "