• Kempen 11 Hari Mencukupi

    Published: Wednesday, 11 April 2018
    A- A+

    SHAH ALAM - Tempoh berkempen PRU14 yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama 11 hari adalah wajar dan mencukupi.

    Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ini kerana tempoh berkempen itu sebenarnya sekadar tempoh rasmi yang dikira bermula daripada penamaan calon hingga hari mengundi.

    “Kempen sebenar sudah berlaku sejak Parlimen dibubarkan, bahkan lebih awal daripada itu. SPR dan pihak berkuasa tempatan kelihatan agak berlembut dengan parti-parti politik yang telah mula memasang bendera parti sejak beberapa minggu lalu.

    “Bahkan bakal calon untuk setiap kawasan pilihan raya telah mula menggerakkan aktiviti turun padang sejak awal lagi. Jadi, soal pengundi tidak sempat mengenali calon juga bukan satu isu yang besar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

    Selain itu katanya, bilangan 11 hari juga sudah memadai untuk menyebarkan maklumat kepada pengundi.

    “Pada zaman teknologi maklumat dan sebaran informasi melalui media sosial kini, setiap parti dan calon sepatutnya tidak perlu risau dengan tempoh kempen yang terhad.

    “Jika tempoh lama diberikan untuk berkempen, pengundi mungkin akan rasa bosan dan muak dengan kebanjiran bahan-bahan kempen yang tersebar sana sini dalam media sosial,” katanya.

    Beliau berkata, tempoh kempen yang lama akan meningkatkan perbelanjaan kos pembiayaan pasukan keselamatan dan pentadbiran pilihan raya serta kos kempen untuk parti-parti politik.

    Malah katanya, tempoh kempen terlalu panjang juga boleh membuka ruang kepada risiko yang menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Oleh itu, tempoh kempen sepatutnya tidak melebihi bilangan 20 hari bagi memastikan keadaan kempen dapat dikawal sebaik-baiknya,” katanya. - SH

    Subjects:

  • No Comment to " Kempen 11 Hari Mencukupi "