• Keluarga Prebet Adam Mohon Maaf Kepada Keluarga TMJ

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    “Saya minta maaf kepada keluarga Diraja Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana terpalit dengan fitnah yang membabitkan abang saya, Prebet Adam.”

    Demikian luahan adik Prebet Adam, Hawa Jaafar, 53, yang menafikan dakwaan kononnya seorang adik mereka dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail ketika berkhidmat sebagai kedi golf kepada Almarhum.

    Dia berkata, mereka sekeluarga terpaksa menahan malu dan marah selama 30 tahun kerana tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan pihak berkuasa.

    “Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 1987 kerana masalah di tempat kerja dan tidak ada kena mengena dengan dakwaan adik kami dibunuh.

    “Semua adik beradik kami masih hidup, hanya seorang saja yang sudah meninggal dunia pada 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

    Turut hadir, dua lagi adik Adam iaitu Arina Jaafar dan Arman Jaafar. Adam adalah anak sulung daripada sembilan beradik.

    Mengulas lanjut, Hawa yang juga anak kedua berkata, mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.

    Malah katanya, mereka sekeluarga turut difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.

    “Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa. Kami tidak pernah terima sesen pun duit daripada mana-mana pihak untuk nafikan hal ini,” katanya yang tinggal di Georgetown.

    Kejadian amuk Prebet Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pernah menggemparkan negara pada 1987 dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Keluarga Prebet Adam Mohon Maaf Kepada Keluarga TMJ "