• KDN Pertimbang Bagi Pas Khas Kepada Lelaki Syria Terkandas Di KLIA2

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbangkan untuk memberi pas khas kepada seorang lelaki Syria yang terkandas di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak sebulan lalu.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya bersedia untuk memberikan pas khas tersebut melalui Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS).

    Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya diluluskan lelaki tersebut perlu melalui proses penapisan yang sama seperti dilalui migran Syria lain.

    “Kita perlu berhati-hati untuk membuat pertimbangan permohonan ini khususnya melibatkan rakyat Timur Tengah yang sedang menghadapi peperangan.

    “Kerajaan tidak mahu mereka yang tidak bertanggungjawab terlibat dalam aktiviti Daesh masuk ke negara kita,” katanya kepada pemberita selepas

    menghadiri Sambutan Hari Imigresen dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 Jabatan Imigresen di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media antarabangsa mengenai Hassan al-Kontar, 36, yang mendakwa tinggal di lapangan terbang tersebut sejak 7 Mac lalu kerana bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria.

    Sebelum ini, Hassan menghantar blog video mengenai kehidupan hariannya di Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " KDN Pertimbang Bagi Pas Khas Kepada Lelaki Syria Terkandas Di KLIA2 "