• Kawasan Panas PRU14, Sarawak Turut Diberi Tumpuan

    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+

    Tujuh negeri dikenal pasti sebagai kawasan panas sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan diberi keutamaan bagi membendung sebarang perkara yang menggugat keamanan dan keselamatan awam.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua negeri akan dikawal dan dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak sebarang kejadian atau insiden tidak diingini sepanjang pilihan raya.

    Beliau berkata, namun terdapat beberapa negeri yang diberi fokus dan dikategorikan sebagai kawasan paling panas.

    “Kalau hendak dikira panas boleh dikatakan semua negeri panas tetapi keutamaan kita adalah di Lembah Klang iaitu Selangor dan Kuala Lumpur, selain Perak, Pulau Pinang, Terengganu serta Sabah dan Sarawak.

    “Ini antara negeri yang PDRM beri fokus yang saya sudah melawat dan beri arahan kepada Pesuruhjaya Polis serta Ketua Polis negeri untuk beri tumpuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bebas Jenayah dan Dadah, Masyarakat Kerian Sejahtera di Dataran Kerian Permai, Parit Buntar, hari ini.

    Mohamad Fuzi berkata, pihaknya yakin pucuk pimpinan tertinggi PDRM di Bukit Aman dan di negeri sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi PRU-14 nanti.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kawasan Panas PRU14, Sarawak Turut Diberi Tumpuan "