• 'Kantung' Kerajaan Cukup Tunai Manifesto

    Published: Monday, 9 April 2018
    A- A+

    BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ‘kantung’ kerajaan mencukupi untuk melaksanakan semua aku janji Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam kelmarin.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan BN bukan seperti pihak lain yang membuat pelbagai janji, tetapi gagal melaksanakannya.

    “Kita lihat jika janji pihak lain (pembangkang) untuk mengambil semua lebuh raya bertol, ia membabitkan lebih RM300 bilion dan mereka tak menyebutkan wang itu datang dari mana.

    “Apabila program untuk melaksanakan aku janji (Manifesto BN) ini, kerajaan dah ambil kira berapakah pendapatan kepada kantung negara kita, khususnya pada Khazanah Nasional (Bhd).

    “Kita dapati berdasarkan pembentangan bajet terdahulu, andaian dibuat kerajaan harga petrol adalah AS$59 (RM228.3) setong, sekarang harga mencecah lebih sedikit daripada AS$69 (RM267) setong, ertinya pendapatan negara akan bertambah maka pendapatan inilah yang digunakan untuk melaksanakan program yang dirancang.

    “Selain itu, apabila sistem percukaian SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) kepada GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dibuat, wang itu dikembalikan kepada rakyat, dan ini memperlihatkan kerajaan tidak bankrap kerana rizab negara sebagai yang diumumkan Bank Negara berada pada tahap tertinggi di mana sebanyak lebih AS$108 bilion (RM418 bilion),” katanya selepas melakukan tinjauan mesra sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Wisma UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini, semalam.

    Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

    Mengulas lanjut Manifesto BN manifestasi kemampuan kerajaan bukan saja dari aspek pentadbiran malah kewangan, Ahmad Zahid berkata, tidak mungkin rizab negara meningkat jika negara bankrap dan aku janji Manifesto BN tidak mampu dilaksanakan jika pengurusan kewangan negara tidak cekap.

    Katanya, sebaliknya kerajaan BN membuktikan kecekapan mengurus kewangan negara dan seluruh sistem penyampaian kerajaan membolehkan apa yang dirancang bersifat ‘doable’ atau boleh dilaksanakan seperti kejayaan melaksanakan 99.4 peratus aku janji Manifesto BN PRU13.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Kantung' Kerajaan Cukup Tunai Manifesto "