• JKKK Nadi Dalam Masyarakat Kampung - Abdul Rahman

    Reporter: Admin
    Published: Sunday, 1 April 2018
    A- A+



    KUCHING: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan yang penting kerana setiap aspek pembangunan di Kampung diuruskan sepenuhnya oleh JKKK.

    Menteri Muda Utiliti Elektrik Sarawak Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, selain itu, JKKK juga memainkan peranan dalam menjaga kebajikan masyarakat, kesejahteraan dan keharmonian kampung.

    "Ahli-ahli JKKK dilantik oleh pertubuhan-pertubuhan yang ada di dalam kampung dan ini adalah agar, setiap pertubuhan ada wakil untuk mengemukakan perkara-perkara yang berkaitan dengan pertubuhan masing-masing kepada pengurusan JKKK."

    Abdul Rahman, yang juga ADUN Pantai Damai berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Rumah JKKK Kampung Rampangi Fasa 1sebentar tadi.

    Tambahnya lagi, setiap pertubuhan juga disarankan agar memaklumi pihak JKKK akan setiap perkara samada perancangan pembangunan ataupun menjalankan aktiviti mereka.

    Menyentuh mengenai Rumah JKKK, Abdul Rahman menyatakan, salah satu usaha yang dilakukan dalam jangka masa pendek dan panjang akan pembangunan Rumah JKKK adalah untuk memudahkan pentadbiran di setiap kampung.

    "Rumah JKKK ini amat berguna kepada setiap pertubuhan kampug kerana ia akan menjadi pusat pentadbiran kampung," katanya lagi sambil menyaran agar rumah harus dijaga dengan rapi supaya ia akan dapat di gunakan dengan selesa.

    "Elakkan dari di musnah laku serta langkah menjaga haruslah ditekankan oleh pengurusan agar ianya dapat digunakan secara berterusan bagi generasi kita pada masa yang akan datang."

    Abdul Rahman juga menjelaskan, pembangunan seperti dewan, gelanggang futsal, padang sepaktakraw dan lain-lain akan diteruskan bagi masyarakat setempat bersukan.

    "Dasar kerajaan juga sekarang menitikberatkan pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat dan baru-baru ini, kita dapat melihat Ketua Menteri kita akan membangunkan dan menambahbaik perkhidmatan jalur lebar dan juga LRT," katanya lagi.

    Turut hadir bersama Penghulu Kampung Rampangi Fasa 1 Haji Borhan Piee, Ketua Kaum Kampung Rampangi Fasa 1 Julaihi Piee dan Ketua PBB Ranting Rampangi Fasa 1 Merdehi Mas.
  • No Comment to " JKKK Nadi Dalam Masyarakat Kampung - Abdul Rahman "