• Jenazah Dr Fadi Akan Dibawa Pulang ke Gaza - Duta Palestin

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 23 April 2018
    A- A+


    GOMBAK: Jenazah pensyarah dan imam Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh akan dibawa pulang ke Palestin untuk dikebumikan di atas permintaan keluarganya.

    Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar Al Agha, berkata pihaknya sudah memulakan proses untuk memindahkan jenazah Dr Fadi ke Gaza, bagaimanapun ia mungkin mengambil masa.

    Beliau berkata, pihak kedutaan sudah berhubung dengan semua pihak yang berkenaan memandangkan jenazah akan melalui Mesir untuk ke Gaza.

    "Kami menerima arahan yang jelas daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk menguruskan segala perkara berkaitan dan kepulangan Dr Fadi dan keluarganya ke Gaza.

    "Kami tidak dapat memberikan waktu yang tepat untuk jenazah dibawa pulang kerana proses autopsi masih berjalan, tetapi perbincangan sedang diusahakan dan saya percaya Kedutaan Malaysia akan memberikan kerjasama.

    "Kami juga perlu berbincang dengan Kerajaan Mesir memandangkan kami akan membawa jenazah dari Kaherah untuk ke Gaza. Ia bukan satu perkara yang mudah, kami perlu mematuhi dan menghormati undang-undang negara yang terbabit,” kata beliau dalam sidang media selepas hadir di Hospital Selayang, hari ini.

    Anwar turut melahirkan keyakinan terhadap kemampuan pihak polis Malaysia dalam menjalankan proses siasatan.

    Selain itu, beliau juga mengesahkan abang kepada Dr Fadi dijangka tiba di Malaysia hari ini sebagai wakil kepada keluarga mangsa di Palestin bagi menguruskan kepulangannya.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa yang juga bekerja sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur ditembak mati ketika berjalan ke surau di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, setapak, untuk menunaikan solat Subuh.

    Subjects:

  • No Comment to " Jenazah Dr Fadi Akan Dibawa Pulang ke Gaza - Duta Palestin "