• Jemaah Menteri Sedia Ada Ialah Kerajaan Sementara

    Published: Saturday, 7 April 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA – Jemaah Menteri sedia ada merupakan ‘Kerajaan Sementara’ bermula dari masa pembubaran Parlimen sehingga jemaah menteri baru dilantik selepas pilihan raya umum atau Parlimen bersidang semula selepas pilihan raya umum mengikut mana yang lebih awal.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini berkata kerajaan sementara boleh membuat tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan sehingga suatu kerajaan baru dibentuk.

    “Antara contoh perkara pentadbiran tersebut ialah seperti meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada dan mengadakan majlis rasmi kerajaan,”katanya.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Ali berkata konsep kerajaan sementara adalah suatu konvensyen perlembagaan yang turut diamalkan di negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

    Ali merujuk kepada satu kes mahkamah berkata Mahkamah Persekutuan turut mengiktiraf bahawa Jemaah Menteri hendaklah ada pada setiap masa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong walaupun selepas Parlimen dibubarkan selaras dengan peruntukan Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Ali turut menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang diberikan kuasa am oleh Jemaah Menteri. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jemaah Menteri Sedia Ada Ialah Kerajaan Sementara "