• JASA Tidak Terjejas Sebagai Organisasi Kerajaan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 27 April 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Peletakan jawatan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) tidak akan menjejaskan pendirian dan fungsi jabatan itu sebagai sebuah organisasi kerajaan.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata pegawai JASA di seluruh negara akan terus melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan.

    "Saya sudah bertemu dengan pegawai-pegawai kanan JASA di peringkat pusat dan negeri, dan mereka memberi jaminan bahawa peletakan jawatan Datuk Dr Puad tidak menjejaskan pendirian dan fungsi JASA sebagai sebuah organisasi kerajaan," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

    Sehubungan itu, katanya tidak timbul soal bahawa jentera Jasa akan terjejas seperti yang didakwa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Mohd Puad pada 25 April lalu dalam akaun Facebook miliknya mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pengarah JASA, rentetan tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Johor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Mohd Puad berkhidmat selama tiga tahun sebagai Ketua Pengarah JASA.

    Salleh juga berkata, beliau sudah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad mengenai surat peletakan jawatan Mohd Puad yang berkuat kuasa pada 26 April 2018.

    "Bagi pihak diri saya serta warga KKMM, kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas segala sumbangan dan jasa beliau sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pengarah JASA," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " JASA Tidak Terjejas Sebagai Organisasi Kerajaan "