• Janji Pada Rakyat, Mohon Pada ALLAH Hadapi PRU14

    Published: Sunday, 8 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) semasa melancarkan manifesto parti itu untuk pilihan paya umum ke-14 (PRU14) malam ini, bukan hanya menyatakan janji kepada rakyat tetapi juga ke hadrat Allah S.W.T.

    Bacaan doa Najib yang juga perdana menteri sebelum mengakhiri ucapan pelancarannya menunjukkan keseriusan beliau dan BN yang bertawakal kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa untuk membantu BN memperoleh kemenangan dan terus diberi mandat pada PRU akan datang.

    Selepas membentangkan 14 Aku Janji dengan 364 initiatif untuk rakyat, Najib menyeru ribuan anggota dan penyokong yang hadir di dalam Axiata Arena untuk bersama-sama mengaminkan doa yang dibacakan, suatu pendekatan yang unik dalam majlis seumpamanya.

    “Saya menyeru sekalian yang hadir agar kita dapat bertenang dan berdiam sebentar. Bersama-samalah kita menunjukkan kesatuan kita dan marilah kita mengaminkan doa. Hakikatnya kepada Allah jualah yang kita perlu bertawakal dan memohon pertolonganNya,” katanya semasa berucap pada majlis itu.

    Najib kemudian membacakan doa tersebut yang berbunyi:

    “Bismillahirrahmanirrahim, Dengan Nama Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,…

    Ya Tuhan Semesta Alam, kami ingin terus merafak harapan membumbung kepadaMu, biar pun burung-burung berhenti bersiulan, sekalipun bumi ini kontang tidak menghijau lagi, hatta alam sekeliling jadi membisu.

    Mohon barang dijauhkanlah oleh-Mu Ya Tuhan, daripada sebarang mala petaka, menimpa Malaysia tercinta ini.

    DiKau terus berkatilah perjuangan parti Barisan Nasional yang telah terbukti jasanya lebih enam dekad ini, demi mempertahankan masa depan tanah air kita daripada ancaman pendusta dan pelelong bangsa.

    DiKau berilah peluang kemenangan kepada kami di dalam pilihan raya umum ke-14 ini dengan membuka pintu hati rakyat agar memberi kepercayaan dan mandat kepada kami sekali lagi untuk terus berkhidmat demi Malaysia tercinta.

    Demi membina sebuah masa depan yang lebih baik, bukan sahaja untuk kita tetapi untuk anak cucu keturunan kita kelak.

    Ya Tuhan, dalam perhimpunan pelancaran manifesto yang bermakna malam ini, kami berikrar, bersumpah dan berjanji bahawa,untuk Malaysia tercinta, dan rakyat terkasih, seandainya kami terus diberi peluang dan dimandatkan untuk mentadbir dan memerintah tanah air ini, tidak sesekali kami akan lalai dan leka.

    Kami akan memperbaiki apa jua kelemahan yang telah lalu dan kali ini kami akan berjuang habis-habisan ke titisan darah yang terakhir, demi menjulang Malaysia ke persada antarabangsa.

    Amin,… Ya Rabbal A’lamin”. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Janji Pada Rakyat, Mohon Pada ALLAH Hadapi PRU14 "