• Jadikan PRU14 paling aman, bersih - Ahmad Zahid

    Published: Saturday, 7 April 2018
    A- A+
    GEORGE TOWN, 7 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi yang paling bersih dan aman pernah diadakan.

    Ahmad Zahid berkata bagi mewujudkan keamanan sepanjang PRU14, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan 'flash point' dan 'hotspot' yang telah dikenalpasti di seluruh negara.

    "PDRM berhasrat biarpun kawasan itu dikenalpasti sebagai 'flash points' dan kawasan panas kita tidak mahu sebarang kekacauan dilakukan. Kita minta jangan sampai ada perselisihan atau kekacauan yang mewujudkan keadaan ketidaktenteraman di kawasan berkenaan," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

    Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, IPK yang terakhir dilawat menjelang PRU14 di seluruh negara.

    Beliau turut mengingatkan PDRM supaya tidak memihak kepada mana-mana pihak dan bertindak secara profesional dalam menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    "Secara keseluruhan PDRM telah bersiap siaga dalam menentukan semua fasa-fasa kesiapsiagaan diikuti sepenuhnya bagi menjamin keamanan dan keselamatan rakyat," katanya.

    Ahmad Zahid berkata perkara utama yang menjadi tumpuan ialah keselamatan rakyat keseluruhannya terjamin dan sehubungan itu beliau memohon semua pihak memberi kerjasama dengan tidak melakukan provokasi.

    Ditanya sama ada pihaknya memberi tumpuan kepada mana-mana negeri, beliau berkata tiada tumpuan untuk negeri-negeri tertentu sebaliknya segala tindakan berasaskan laporan risikan yang diterima serta berdasarkan pilihan raya umum lepas.

    "Semua negeri tak kira di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) atau pembangkang akan diberi perhatian yang sama berdasarkan 'flash points'. Negeri yang dikuasai BN pun ada 'flash points'," katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta semua pihak menghormati logo yang digunakan parti-parti yang bertanding pada PRU14 dan tidak menurun atau merosakkan bendera-bendera parti sepanjang tempoh berkempen.

    "Jika ada parti-parti yang menukarkan lambangnya kepada satu lambang untuk kegunaan bersama ataupun jika parti itu tidak boleh menggunakan lambang parti berkenaan tetapi menggunakan lambang yang sama kita harus hormati.

    "Saya tidak mahu kejadian menurun, mengoyak atau merosakkan mana-mana bendera parti. Kita harap jentera parti melakukan pemantauan dan pihak polis akan membantu supaya kejadian provokasi seperti ini tidak berlaku di mana-mana tempat," katanya.

    Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa PDRM akan bertindak secara profesional mengikut fasa-fasa proses pilihan raya bagi menjaga keselamatan rakyat dan negara.

    "Polis perlu laksanakan 'kecacatan sifar'. Saya tak nak ada sebarang kecacatan. Rakyat harapkan kita dan kita mesti lakukan kerja bersungguh-sungguh," katanya.

    Beliau turut menasihatkan pegawai dan anggota polis boleh mengawal emosi dalam menjalankan tugas memandangkan kemungkinan ada pihak yang akan mempertikaikan mereka dalam melaksanakan tugas menegakkan undang-undang.

    Ahmad Zahid berkata walaupun terdapat perbezaan pendapat dari segi politik tetapi dalam soal keselamatan negara semua pihak perlu bersatu.

    "Saya minta rakyat beri kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjalankan tugas sepanjang pilihan raya," katanya.

    Beliau turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk menaik taraf IPK Pulau Pinang dan RM1 juta kepada semua ibu pejabat daerah di negeri ini.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jadikan PRU14 paling aman, bersih - Ahmad Zahid "