• Isteri allahyarham Dr Fadi akan pulang ke Palestin

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 25 April 2018
    A- A+
    (Foto Bernama)
    KUALA LUMPUR 25 April - Berikutan insiden pembunuhan pensyarah dan imam warga Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang menggemparkan pada Sabtu lepas, isteri Allahyarham berkata beliau dan tiga anaknya akan kembali ke tanah air mereka di Palestin untuk selama-lamanya.

    Beliau menyifatkan Allahyarham suaminya, yang ditembak mati ketika berjalan menuju ke surau dekat kondominium mereka di Setapak untuk mengimamkan solat Subuh, sebagai seorang yang mengutamakan pendidikan.

    "Saya masih ingat suami saya berkata, anda telah bersabar menunggu saya menamatkan pengajian PhD, dan saya akan menunggu anda meneruskan pengajian PhD. Beliau bersungguh-sungguh meminta saya menamatkan pengajian," katanya kepada media di sini malam ini dalam temubual pertamanya susulan insiden pembunuhan itu yang menggemparkan rakyat Malaysia.

    Bercakap menerusi penterjemah, Enas yang berasa amat sedih atas pemergian suaminya, berkata beliau telah mendaftar untuk mengikuti program PhD di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan akan meneruskan pengajian secara dalam talian.

    Enas juga menghargai kesanggupan Allahyarham Fadi yang berkorban demi pendidikan anak-anak mereka.

    Enas yang mengenakan jubah berwarna biru ketika sesi bersama media, ditemani anak lelakinya berusia satu tahun, Mohammed dan adik iparnya, Ramy Al Batsh, 28, yang tiba di Malaysia dari Jerman.

    Dengan tutur kata yang sebak, Enas berkata beliau telah menetap di Malaysia sejak tujuh tahun lepas.

    Beliau berkata keluarganya sudah merancang untuk bercuti di Malaysia sebelum arwah suaminya ditembak mati.

    Beliau menyifatkan Allahyarham Fadi, 35, sebagai suami yang baik dan penyayang dengan sikap yang positif.

    Jenazah Allahyarham dijangka diterbangkan ke Mesir dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL kira-kira 7 malam esok sebelum dibawa ke Gaza melalui jalan darat.

    Sementara itu, Ramy menyifatkan Allahyarham abangnya sebagai seorang yang luar biasa dan baik hati, dan menjadi guru kepada orang di sekeliling.

    Dalam pada itu, Ramy mengecam mereka yang membunuh abang tersayangnya yang merupakan bapa kepada dua anak perempuan - Doaa, 6, dan Aseel, 4.

    "Pelaku insiden itu harus dibawa ke pengadilan dan dikenakan hukuman yang paling berat," katanya.

    Beliau berkata Allahyarham Fadi yang menghafal al-Quran, adalah seorang insan biasa dan disukai ramai termasuk mereka yang bukan Islam.

    "Tidak dapat dibayangkan bahawa arwah boleh mencederakan orang lain yang menyebabkan beliau dibunuh, " katanya.

    Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa abangnya itu ialah pakar pembuat roket. - BERNAMA


    Subjects:

  • No Comment to " Isteri allahyarham Dr Fadi akan pulang ke Palestin "