• Internet Membawa Kebajikan Umat

    Published: Monday, 9 April 2018
    A- A+

    INTERNET hari ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia yang membantu ramai orang berjaya walaupun, ada kalanya ramai yang jatuh dalam kegagalan jika tidak menggunakannya dengan teliti.

    Penggunaan internet membawa kebajikan umat manusia di samping mengelakkan pelbagai jenis kelemahan, akan tetapi ramai di antara kita tidak dapat melihat dan mengenalinya.

    Tambahan pula, ketagihan internet telah digunakan untuk kebergantungan fizikal dan terlalu banyak menggunakan internet. Kelaziman ketagihan internet adalah dari 4.4% di China, 5% di Itali, 8.1% di Australia, 11% di Iran, 12% di Amerika Syarikat serta 24% hingga 64% di Malaysia.

    Internet juga telah menjadi sebahagian penting dalam pembangunan globalisasi yang memenuhi integrasi semua sumber dalam satu kawalan tunggal yang memberi makna setiap maklumat dan pengetahuan boleh diakses secara individu.

    Dalam pada itu, internet (Interconnection Networking) membawa maksud rangkaian komunikasi global yang terhubung dalam beberapa rangkaian serta menghubungkan berjuta-juta jaringan komputer dengan menggunakan jenis komunikasi seperti telefon, satelit serta sistem-sistem komunikasi yang lain.

    Jaringannya yang amat besar dan luas serta merupakan jaringan global komputer dunia mengandungi pelbagai maklumat bermula dari teks, gambar, audio, video dan lain-lain.

    Berdasarkan laporan akhbar tempatan bertarikh 19 Mac 2018, kadar kepenggunaan internet di Malaysia meningkat kepada paras 80.1 peratus bagi individu yang berusia 15 tahun ke atas pada 2017. Perkara ini sememangnya terbukti seiring dengan perkembangan dunia teknologi maklumat yang begitu pesat di Malaysia.

    Tambahan pula, pada tahun sebelum ini kadar penembusan penggunaan internet berada pada paras 71.1 peratus dan meningkat sebanyak sembilan peratus pada tahun berikutnya. Perkara ini menunjukkan peningkatan yang ketara dalam penggunaan internet di Malaysia.

    Berdasarkan kepada laporan tersebut, menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, penggunaan komputer juga meningkat pada paras 69.8 peratus berbanding 68.7 peratus pada 2015. Peningkatan peratusan individu yang menggunakan komputer menunjukkan sebanyak 1.1 peratus.

    Telefon pintar juga menunjukkan peningkatan dalam kepenggunaannya untuk melayari internet sebanyak 0.2 peratus. Kadar peratusan yang ditunjukkan adalah pada paras 97.7 peratus berbanding 97.5 peratus pada 2015.

    Antara aktiviti popular dalam kegunaan utama internet adalah melayari laman sosial, iaitu 86.3 peratus. Manakala, bagi yang memuat turun imej, video, muzik serta memuat turun permainan video sebanyak 81.2 peratus.

    Hakikatnya, penggunaan internet dapat meningkatkan pengetahuan pengguna. Walau bagaimanapun terdapat manfaat dan keburukan tersendiri. Ia bergantung kepada pengguna itu sendiri.

    Hari ini, dunia disaksikan oleh ramai individu dan organisasi yang berusaha untuk memuat naik sebahagian besar gedung ilmu dan pengetahuan serta pakej pendidikan tanpa had, termasuk perpustakaan dalam talian yang menunjukkan sentraliti internet yang penting dan bermanfaat.

    Hal ini bertepatan dengan perintah Islam agar berbuat dan berkongsi kebaikan. Malah ia bertepatan dengan konsep Islam iaitu “Rahmatan lil ‘alamin” dan sabda Rasulullah SAW bahawa: “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah”- Riwayat Bukhari dan Muslim.

    Dalam konteks penggunaan internet, pengguna berkedudukan sebagai 'peminta' yang membawa maksud orang yang meminta sesuatu dari internet berupa video, lagu, gambar dan sebagainya. Dari susut yang lain pula, salah satu contoh yang dapat diberikan adalah dengan menyediakan atau membuka laman web untuk berkongsi kebaikan kepada yang lainnya.

    Tuntasnya, kepenggunaan internet pada masa kini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengguna.

    Kadar peratusan yang dinyatakan juga menunjukkan peningkatan yang begitu ketara dari tahun ke tahun sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat yang sememangnya begitu pesat di Malaysia.

    Ini juga menjadi bukti bahawa penggunaan internet pada masa kini sememangnya sangat penting dalam arus pembangunan dan modenisasi yang kian mencabar ini.

    Akhirnya, pelbagai manfaat dan kesan positif dapat diperoleh berbanding keburukan dan kesan negatif apabila individu atau pengguna dapat memanfaat dan menggunakannya pada perkara yang mendatangkan hasil baik.

    * Penulis penuntut Ijazah Sarjana Mudsa Bahasa Arab dan Komunikasi Usim

    -Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Internet Membawa Kebajikan Umat "