• Hormat Keputusan Datuk Norah Tidak Pertahan Kerusi Tanjung Manis

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 22 April 2018
    A- A+

    KUCHING - Keputusan penyandang Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Abdul Rahman yang mahu mengundur diri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dihormati atas faktor kesihatan.

    Menteri Muda Perhubungan Korporat Sarawak, Abdullah Saidol berkata, pengunduran tersebut dihormati yang mana selama dua penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat telah banyak berjasa dengan memberi sumbangan kepada rakyat dan kawasan bagi penyediaan prasarana serta infrastruktur.

    “Saya berharap apa pun masalah kesihatan yang dihadapi oleh beliau (Norah) semoga tidak serius dan cepat beransur pulih.

    “Saya hanya mengetahui tentang perjumpaan Datuk Norah dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas dimaklum oleh pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Tambahnya yang merangkap Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, beliau menyerah tindakan serta keputusan sepenuhnya pengganti calon Parlimen Tanjung Manis di tangan pucuk pimpinan parti.

    “Cuma harapan saya ialah siapa pun yang menjadi calon nanti mestilah memahami bahawa sebahagian besar kawasan Parlimen Tanjung Manis adalah kawasan pedalaman.

    “Wakil rakyatnya kelak perlu bersungguh-sungguh memajukan kawasan yang diwakili, rajin menjenguk bila-bila masa dan berani menyuarakan permasalahan di kawasan,” jelasnya.

    Beliau memberitahu, kawasan itu juga mempunyai potensi besar menjadi kawasan yang menyumbang kepada ekonomi negeri tetapi dalam masa sama masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas dengan segera. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Hormat Keputusan Datuk Norah Tidak Pertahan Kerusi Tanjung Manis "