• Hasrat Pembangkang Mahu Batalkan Kontrak Besar Dengan China Tak Masuk Akal

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 4 April 2018
    A- A+

    MUAR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan hasrat pembangkang yang mahu membatalkan kontrak-kontrak bernilai besar dengan China termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai langkah yang gila dan tidak siuman.

    Perdana Menteri berkata, tindakan tidak rasional yang hanya berlandaskan politik itu akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada negara, malah rak­yat.

    Beliau berkata, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk dalam industri kayu-kayan, minyak kelapa sawit, eksport durian dan sarang burung walet dengan nilai melebihi RM100 bilion setahun.

    “Kita sudah dengar pembangkang telah melahirkan hasrat mereka untuk membatalkan kontrak-kontrak seperti ECRL dengan China dan kontrak-kontrak lain.

    “Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar) sebut tadi pihak satu lagi sebagai pihak haru-biru, memanglah kalau batal segala kerjasama dagangan dengan China itu langkah gila, tidak siuman,” katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Taman Perabot Muar (MFP) dan melancarkan Skim Usahawan Perabot Bumiputera (SuperBumi) di Bakri, dekat sini hari ini.

    Perdana Menteri menegaskan, pembatalan kerjasama dua hala antara Malaysia dan China itu hanya akan merugikan rakyat dan bukan para pemimpin pembangkang.

    “Cuba bayangkan kalau kita regangkan atau keruhkan hubu­ngan dengan China, kalau China tak beli minyak kelapa sawit kita, kalau China tak beli perabot kita dan kalau China tak beli kayu kita siapa akan rugi kalau bukan rakyat?

    “Jadi, pilih kerajaan yang ada hari ini kerana kita akan terus perjuangkan untung nasib semua rakyat termasuk di Muar kerana Muar antara salah satu tempat yang kita nak beri tumpuan,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau memberi contoh China merupakan negara utama dari segi eksport kayu dan produk kayu negara dengan nilai mencecah RM846.8 juta pada tahun lalu.

    “Perabot juga masih merupakan antara eksport utama produk kayu ke China dengan nilai RM121.7 juta pada tempoh sama yang menyaksikan peningkatan sebanyak 91 peratus berbanding tahun sebelumnya,” kata beliau.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Hasrat Pembangkang Mahu Batalkan Kontrak Besar Dengan China Tak Masuk Akal "