• Guru Perlu Berfikiran Kelas Dunia Didik Modal Insan

    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+


    KOTA BELUD – Golongan guru perlu berfikiran kelas dunia dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah kemajuan yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat dunia.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini selaras dengan transformasi pendidikan negara yang bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakarkan nasional dan berakal antarabangsa.

    “Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat bagi memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang dirangka dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

    “Justeru, guru perlu sentiasa berubah dan melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi,” katanya pada satu program sempena sambutan Hari Guru peringkat Kota Belud di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion sini hari ini.

    Salleh turut meminta golongan guru supaya meningkatkan pengetahuan semasa, khususnya berkaitan Revolusi Industri 4.0.

    Katanya, langkah itu akan membolehkan guru menjawab semua pertanyaan pelajar dan juga membetulkan maklumat tidak sahih yang ditularkan di media sosial yang boleh menjejaskan usaha pembangunan modal insan negara.

    “Kerajaan berusaha membangunkan infrastruktur digital di negara ini, namun rakyat perlu berhati-hati dengan berita palsu.

    “Disebabkan itulah kita kena ada ilmu untuk membezakan mana yang betul atau tidak supaya berita palsu itu tidak menguasai kita,” katanya.

    Terdahulu, Salleh menghadiri satu majlis di SMK Pekan 2 di sini bagi menyaksikan penyerahan kenderaan van untuk kegunaan sekolah tersebut.

    Van bernilai RM100,000 itu yang boleh menempatkan 14 penumpang termasuk pemandu disumbangkan oleh MYNIC Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

    Ia diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Datuk Hasnul Fadhly Hasan kepada pengetua sekolah berkenaan Liasin Kaloh. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Guru Perlu Berfikiran Kelas Dunia Didik Modal Insan "