• Gabungan PKR tidak akan hapus GST - Seng Giaw

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR 12 April – Gabungan pembangkang PKR sengaja mereka-reka cerita buruk terhadap pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Mengambil contoh pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw berkata, mustahil bagi gabungan pembangkang PKR menghapuskan sistem percukaian yang disifatkan beliau cukup istimewa.

    Beliau turut mempersoalkan bagaimana satu sistem percukaian yang diguna pakai di lebih 170 buah negara boleh dimansuhkan tanpa mengambil kira pelbagai faktor lain apatah lagi dalam manifesto gabungan tersebut menjanjikan pelbagai inisitiaf yang memerlukan ‘modal besar’.

    “GST satu sistem percukaian yang istimewa kerana mempunyai corak kaedah yang tertentu apabila dilaksanakan. Kalau hendak diubah, kita mesti ubah memerlukan satu reformasi yang besar.

    “Kalau kita boleh sampai (kutipan GST) RM45-50 bilion dalam setahun, macam mana hendak dimansuhkan begitu sahaja? Apa akibat pemansuhan kalau lebih 100 negara termasuk negara jiran, Singapura dan Thailand turut laksanakannya,” katanya kepada Utusan Online semalam.

    Seng Giaw merupakan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) digugurkan DAP bagi PRU-14 bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kepong yang disandangnya sejak lapan penggal lalu.

    Kerusi beliau digantikan oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng selepas Seng Giaw ‘bikin panas’ dalam kem DAP apabila mengeluarkan kenyataan penafian terhadap penglibatan secara langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    GST pada kadar enam peratus telah diperkenalkan sejak 1 April 2015 telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara dengan menyumbang RM41.2 bilion pada 2016 dan menyasarkan RM42 bilion tahun lalu.

    Dalam pada itu, mengulas isu 1MDB, Seng Giaw berkata, beliau mempertahankan kenyataannya berhubung penglibatan Perdana Menteri kerana tidak terdapat bukti kukuh mengaitkannya dalam perkara tersebut.

    “Kita dapati Ketua Pegawai Eksekutif ada membuat salah dan sebab itulah mesti ada siasatan lanjut untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Tambahan pula, tanggungjawab PAC membentangkan laporan dan syor-syor kepada Dewan Rakyat dan selepas itulah baharu tindakan seterusnya diambil.

    “Di Malaysia, kita mengamalkan kedaulatan undang-undang. Dengan demikian, seseorang itu tidak bersalah kecuali beliau dihukum oleh berdasarkan bukti-bukti yang timbul,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Gabungan PKR tidak akan hapus GST - Seng Giaw "