• Filipina Roboh Tugu Peringatan Hamba Seks

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 30 April 2018
    A- A+

    MANILA – Pelbagai kumpulan menyuarakan kemarahan selepas sebuah tugu peringatan untuk wanita yang dipaksa bekerja sebagai hamba seks kepada tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua, dirobohkan di Manila.

    Pihak berkuasa bandar raya berkata, tugu wanita tembaga itu yang ditutup mata dekat ibu negara Filipina, dimusnahkan, semalam untuk memberi laluan kepada projek longkang dan tiang jambatan.

    Bagaimanapun, pelbagai kumpulan yang memperjuangkan hak ‘wanita pelayan’ mempersoalkan sama ada kerajaan Filipina tunduk kepada desakan Jepun membabitkan tugu itu.

    Ketika zaman perang, Jepun menduduki Filipina tetapi kini, ia adalah pelabur utama, rakan dagangan dan penyumbang bantuan terbesar negara itu.

    “Insiden ini amat malang,” menurut kerajaan Jepun selepas tugu itu dibina kira-kira dua kilometer dari kedutaan Jepun pada Januari lalu.

    “Kerajaan Jepun bekerja keras. Mereka mahu tugu sama di New Jersey dimusnahkan,” kata Pengarah Eksekutif pertubuhan dan pejuang wanita pelayan yang masih hidup, Lila Pilipina.

    “Insiden ini mencemarkan maruah wanita Filipina, ia penghinaan kepada ratusan hamba seks Filipina yang menjadi mangsa penjajahan Jepun,” menurut kumpulan wanita, Gabriela.

    Jabatan kerja raya Filipina gagal dihubungi untuk ulasan dan kedutaan Jepun di Filipina tidak memberi jawapan kepada soalan menerusi emel.

    Ahli sejarah berkata, sehingga 200,000 wanita kebanyakan dari Korea, Filipina dan China dipaksa bekerja di rumah pelacuran tentera penjajah Jepun. – AFP/BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Filipina Roboh Tugu Peringatan Hamba Seks "