• Ekonomi Memperkasakan Kesejahteraan Rakyat

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    LANGKAWI: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha memperkasakan kesejahteraan rakyat memerlukan perkembangan ekonomi yang baik bagi memastikan hasil yang diperoleh negara dapat terus melonjakkan kesejahteraan mereka.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan perlu memberi penekanan terhadap aspek pemerkasaan rakyat dan usaha memakmurkan ekonomi negara ini kerana ia saling berhubung kait antara satu sama lain.

    “Memacu ekonomi negara bererti bahawa memperoleh hasil dan dana, bila hasil dan dana bertambah, kita boleh mengagihkan kepada rakyat, barulah boleh kita masuk bab bagaimana kita boleh melonjakkan lagi kesejahteraan rakyat.

    Kalau kita buat sesuatu yang akhirnya menjejaskan ekonomi sama ada hari ini dan akan datang, yang terima kesan buruknya adalah rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

    Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

    Perdana menteri berkata oleh itu sekiranya menjanjikan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap ekonomi negara, ia boleh menyebabkan rakyat yang akan menanggung akibat buruk daripada tindakan berkenaan.

    Mengambil contoh cadangan pemansuhan semua tol dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), Najib mempersoalkan tindakan itu kerana ia memerlukan ganti rugi sebanyak RM380 bilion jika tol dimansuhkan di negara ini.

    “Kalau pembangkang kata dia akan memansuhkan semua tol di dalam negara kita, tetapi anehnya bapa tol itu zaman dia (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang buat tol, bukan zaman saya, zaman saya mengurangkan tol, zaman dia tambah tol.

    Habis sekarang dia pula nak mansuhkan tol. Walhal nak mansuhkan tol, ganti ruginya RM380 bilion, mana nak dapat RM380 bilion ini, bukan sikit fulusnya, masuk akal ke tidak, tidak masuk akal, tak rasional,” katanya.

    Perdana menteri berkata disebabkan itu, tidak ada satu pun rating agensi seperti Bank Dunia mahupun Bloomberg memberikan penilaian positif kepada manifesto pembangkang itu malah mengatakan ia tidak realistik dan akan menjejaskan eknomi negara.

    “Ini bukan saya cakap, ini badan-badan antarabangsa, badan-badan penarafan yang rata-rata kata manifesto itu tak mungkin dapat dilaksanakan, ini dia,” katanya.

    Perdana menteri berkata apabila manifesto Barisan Nasional (BN) itu dibentangkan pada 7 April lepas, semua pihak termasuk badan antarabangsa itu mengatakan manifesto berkenaan mampu dilaksanakan kerajaan.

    “Sebab itulah pada malam itu dalam banyak-banyak perkara saya umumkan, yang paling hebat dapat sambutan adalah BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) tambah 100 peratus. Bila sebut BR1M, orang bangun tepuk,” katanya.

    Najib berkata penambahan bantuan itu dibuat kerana kerana kecekapan kerajaan di bawah kepimpinan BN menguruskan ekonomi negara.

    “Bila ekonomi negara kita ini berkembang, bila dasar kita membawa kepada kadar pertumbuhan yang tinggi, tahun sudah (lepas) 5.9 peratus kadar pertumbuhan kita, hasil negara bertambah, hutang negara menguncup 50.8 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), zaman pemimpin 22 tahun itu pernah mencecah 103 peratus daripada KDNK,” katanya.

    Perdana menteri berkata pemberian BR1M bukan senjata politik BN sebaliknya ia merupakan prinsip pengagihan kekayaan negara kepada rakyat yang diperoleh sama ada daripada kutipan cukai mahupun sumber minyak.

    “Kita buat BR1M kerana kita nak tolong rakyat. Bukan apa. Semua dapat. Sokong Barisan (Nasional) dapat, tak sokong Barisan Nasional pun dapat…tak sokong BN tapi BR1M nak, tak apa kita bagi, sebab tak nak orang kata ini senjata politik kita.

    “Kita ambil cukai, daripada orang beli barangan, daripada cukai korporat, dan daripada sumber minyak sebagainya kita bagi kepada rakyat, apa yang salahnya, kita bagi kepada rakyat supaya rakyat lega.

    “Bulan Jun bulan puasa dekat raya, tiba-tiba dapat RM800, mula-mula RM400, naik RM800, cuba bayangkan…anak nak baju baharu, isteri nak baju raya, nak beli persiapan rumah (untuk) raya,” katanya.

    Menyentuh soal kemajuan Langkawi, perdana menteri berkata usaha membangunkan pulau itu tidak boleh dilakukan secara individu, sebaliknya menerusi kuasa pulau itu maju disebabkan perjuangan UMNO dan BN.

    “Tak mungkin kalau tak ada kuasa, di Langkawi maju kerana perjuangan UMNO dan Barisan Nasional, secara peribadi tak boleh. (Kena ada) kuasa. UMNO di belakang saya, BN belakang saya boleh buat perubahan di Langkawi dan negara. Kami semua satu pasukan. Pulau Langkawi akan dapat masa depan lebih baik lagi,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ekonomi Memperkasakan Kesejahteraan Rakyat "