• Durian Busuk Cetus Panik

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 29 April 2018
    A- A+

    MELBOURNE: Ratusan dipindahkan dari sebuah perpustakaan di pusat bandar Melbourne, semalam selepas bau durian busuk mencetuskan kebimbangan berlakunya kebocoran gas.

    Pasukan bomba turut dikerah ke Institut Teknologi Diraja Melbourne (RMIT) di Labtrobe Street kira-kira jam 3 petang (waktu tempatan) selepas bau gas tersebut dikesan di perpustakaan tersebut.

    "Pemindahan itu melibatkan kira-kira 500 pelajar dan pensyarah. Puluhan bomba melakukan pemeriksaan untuk mengesan punca bau itu berikutan bangunan tersebut diketahui menyimpan bahan kimia berbahaya," kata jurucakapnya.

    Jelasnya, bau misteri itu akhirnya terjawab selepas bomba menemui buah durian yang ditinggalkan dalam sebuah almari.

    "Selepas pencarian yang komprehensif, pasukan kami berjaya mengesan bau gas yang terhasil daripada durian busuk. Ia telah meresap ke dalam sistem penghawa dingin bangunan tersebut dan menghasilkan bau seperti gas kimia," ujarnya lagi.

    Difahamkan, perpustakaan itu dibuka semula pada jam 6 petang (waktu tempatan) dan Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar akan menyelia pembuangan durian tersebut. - Awani


    Subjects:

  • No Comment to " Durian Busuk Cetus Panik "