• Dr M Umum Calon DUN Kedah Jumaat Ini

    Published: Tuesday, 10 April 2018
    A- A+

    ALOR SETAR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu menyelesaikan rundingan berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi di Kedah sebelum Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan senarai penuh Jumaat ini.

    Difahamkan, pemimpin PH di Kedah perlu memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi itu sebelum Dr Mahathir mengumumkan senarai penuh calon untuk 36 kerusi DUN Kedah.

    Sumber PH Kedah mengesahkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, akan memperkenalkan calon untuk kerusi DUN Kedah pada program di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam petang Jumaat ini.

    "Dr Mahathir dijangka mengumumkan senarai calon untuk semua empat parti komponen PH yang akan bertanding di 36 kerusi DUN Kedah pada program berkenaan.

    "Semua calon PH Kedah dijangka hadir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sumber berkata, calon PH untuk kerusi Parlimen di Kedah dan seluruh negara dijangka diumumkan di Kuala Lumpur kemudian.

    NSTP semalam melaporkan pemimpin PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih berunding mengenai parti mana yang akan bertanding di 34 kerusi DUN yang diperuntukkan dalam kalangan tiga parti itu di Kedah.

    Dua lagi baki kerusi DUN di Kedah diperuntukkan kepada DAP, yang akan mempertahankan kerusi DUN Derga dan Kota Darulaman.

    Timbalan Pengerusi PH Kedah, Dr Azman Ismail dilaporkan berkata, tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertukaran kerusi DUN antara PKR, PAN dan PPBM sebelum PH memuktamadkan senarai calonnya di negeri itu.

    Sebelum ini, media melaporkan semua komponen parti PH bersetuju dengan pecahan pembahagian kerusi DUN Kedah iaitu 14 kepada PPBM, masing-masing 10 kepada PKR dan PAN, manakala DAP mempertahankan dua kerusi milik parti itu.

    Bagaimanapun, PKR, PAN dan PPBM masih belum selesai memuktamadkan pembahagian kerusi akan ditandingi di 34 kerusi DUN Kedah.

    Pada PRU-13 lima tahun lalu, PKR bertanding di 10 kerusi DUN iaitu Kuah, Bukit Kayu Hitam, Pedu, Gurun, Bukit Selambau, Lunas, Sidam, Kulim, Bakar Arang dan Bakar Bata (kini Suka Menanti), manakala DAP bertanding di dua kerusi iaitu Derga dan Kota Darulaman.

    PPBM dan PAN, masing-masing parti serpihan UMNO dan PAS, akan bertanding dalam pilihan raya umum unyuk kali pertama.

    Bagi kerusi Parlimen di Kedah pula, media melaporkan PPBM dan PKR akan bertanding di enam kerusi dan PAN bertanding di tiga kerusi, manakala DAP tidak ditawarkan bertanding di mana-mana 15 kerusi Parlimen di Kedah.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Dr M Umum Calon DUN Kedah Jumaat Ini "