• Diculik, Dibunuh, Ditanam...

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    Mereka dipercayai diculik, dibunuh dan ditanam. Itu nasib dialami mangsa pembunuhan kejam dikaitkan dengan penemuan tulang manusia di kubur tidak bertanda di dalam hutan berhampiran sebuah kuil terbiar di Batu 8, Jalan Sungai Gadut, Senawang, hari ini.

    Penemuan itu susulan kejayaan penahanan sekumpulan suspek dipercayai ahli kongsi gelap dalam operasi khas yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan, sejak dua minggu lalu.

    Kumpulan kongsi gelap itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya lima pembunuhan sejak tiga tahun lalu yang menyaksikan semua mangsa ditanam di kawasan hutan yang terletak kira-kira 150 meter dari jalan utama itu.

    Polis membawa suspek ke lokasi mayat ditanam pada 12 tengah hari, dan dengan bantuan Unit Forensik serta Anjing Pengesan (K9) dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa menggali semula dua lubang sebelum menemui tulang manusia.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan penemuan itu, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Katanya, pihaknya masih menyiasat penemuan itu dan semua tulang berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk proses analisis.

    “Apabila analisis dibuat baru kami (polis) boleh tahu siapa pemilik tulang itu dan juga perlu menyemak semula rekod orang hilang bagi mengesan waris keluarga.

    “Selepas itu, pihak forensik akan mengambil sampel DNA keluarga mangsa bagi proses padanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Ditanya sama ada suspek terbabit adalah ahli Geng 36 yang ditahan polis sebelum ini, Noor Azam enggan mengulas lanjut kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.

    Katanya, beliau akan mengadakan sidang media selepas siasatan penuh diperolehi.

    Pada 11 November tahun lalu, polis menemui mayat seorang lelaki yang juga pemilik kedai cuci kereta ditanam di tepi jalan berhampiran Taman Saga, Siliau dekat Rantau.

    Penemuan berkenaan juga susulan kejayaan polis menahan seorang suspek yang juga ahli kumpulan kongsi gelap yang menculik lelaki itu akibat tidak berpuas hati berkaitan teman wanita mangsa.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Diculik, Dibunuh, Ditanam... "