• Di mana ada Dr Mahathir, di situ konflik bermula

    Published: Tuesday, 17 April 2018
    A- A+
    Oleh Kamarul Khairy

    Apa kita tidak pernah membuat rumusan mengenai politik Malaysia yang penuh dengan sepak terajang, khususnya dalam Umno itu sendiri?

    Sebenarnya Umno masih merupakan wadah terbaik untuk orang Melayu.

    Kita bukan mahu menceritakan isu-isu yang melibatkan perkauman, tetapi kita mahu membicarakan kepentingan untuk menjaga kedudukan orang Melayu, khususnya dari sudut politik.

    Tidak ada orang yang mampu menyangkal sekiranya kita mengiktiraf Umno sebagai parti ulung yang menjaga kepentingan orang Melayu.

    Malangnya, wadah yang amat penting untuk orang Melayu itu semakin bercelaru.

    Sejak 1981, Umno mula bergolak.

    Kita gagal melihat pada waktu itu, tetapi sepatutnya kita lebih jelas hari ini kerana ada satu nama kepimpinan yang membawa erti konflik.

    Namanya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang sejak 1981, setelah menjawat jawatan perdana menteri dan presiden parti, Umno tidak henti-henti di ambang krisis.

    Nama seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Hussein Onn sebenarnya sudah mengagak senario Umno selepas mereka akan berbeza.

    Umno tidak putus-putus dilanda pergolakan.

    Pada 1986, apabila Tun Musa Hitam meletak jawatan, krisis 1987 melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah.

    Pada 1993 dengan Tun Ghafar Baba dan 1998 dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pada 2009, Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri Malaysia dan hari ini pergolakan dalam era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

    Pemusatan pergolakan ini hanya satu, Dr Mahathir!

    Kesan pergolakan ini melemahkan parti yang menjadi wadah utama orang Melayu.

    Dalam semua keadaan, Dr Mahathir adalah orang yang mencederakan kesatuan dalam Umno.

    Semua ini perlu kita jelaskan. Semua kerana kuasa dan sebab itu beliau boleh memegang kuasa selama 22 tahun.

    Ini bukan soal kepintaran, ini soal rakus mempertahankan kuasa dan kemahuan.

    Selepas melepaskan jawatan pada 2003, Dr Mahathir masih lagi nama yang unggul mencipta konflik dalam Umno.

    Seakan-akan bila ada Dr Mahathir, di situ bermulalah konflik. Umno benar-benar berpecah ketika Dr Mahathir memegang jawatan.

    Bahkan selepas bersara pun beliau masih menjadi punca konflik.

    Orang Melayu perlu sedar mengenainya, Dr Mahathir bukan mahu memupuk perpaduan antara orang Melayu, malah mencalarkan parti Melayu yang dibentuk Datuk Onn Jaafar tanpa memikirkan kepentingan orang Melayu secara kolektif.

    Adakah Dr Mahathir sebenarnya memperjuangkan kepentingan Melayu atau hanya memikirkan apa yang dimahukan dirinya?

    Kita sepatutnya sedar sepanjang pemerintahan beliau, apa yang dilakukannya adalah pembangunan fizikal mengikut kehendak dan kepentingan beliau sendiri.

    Asas pengukuhan orang Melayu tidak dihiraukan sehingga penyertaan orang Melayu dalam ekonomi dan pembangunan lain hanya superfisial, bak kata Onn Jaafar dalam interpretasi berbeza, Melayu hanya kuat pada kulit dan bukan teras.

    Bagaimana mahu mengukuhkan kedudukan orang Melayu, kalau sentiasa terlibat dalam krisis dalaman?

    Apakah jujur alasan beliau mahu memperjuangkan orang Melayu, sedangkan kepimpinan beliau penuh dengan cabar-mencabar, krisis dan pergolakan.

    Ini hanya menjelaskan perpaduan Melayu bukan soal utama, soal utama adalah mempertahankan kuasa dan melakukan apa yang dirasakan terbaik untuk dirinya.

    Sebenarnya, amat malang sekali Umno dipimpin Dr Mahathir lebih 22 tahun.

    Umno berpecah. Umno sebelum ini mati dibunuh dan dipersalahkan orang lain, lantas menubuhkan Umno Baru yang dapat digenggam untuk kepentingan diri sendiri adalah hasrat sebenarnya.

    Apakah kita mahu melihat pergolakan berlaku lagi?

    Apabila kestabilan politik kita goyah, maka semua usaha pembangunan Melayu turut bergoncang.

    Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dalam perkara kesatuan orang Melayu.

    Hari ini, Dr Mahathir sedang memimpin Pakatan Harapan (PH).

    Adakah krisis tidak akan berlaku, sekiranya beliau berjaya menjadi perdana menteri Malaysia nanti?

    Adakah PH yang digenggam beliau tidak akan bergolak, seperti mana yang berlaku zaman beliau menerajui Umno?

    Kita kena berfikir secara objektif. Krisis politik tidak akan terhenti, sekiranya Dr Mahathir memimpin negara ini semula.

    Ia pasti akan berlaku ketika beliau memimpin PH. Melayu akan terus berpecah dan ini akan melemahkan orang Melayu.

    Memang tidak boleh disangkal, di mana ada Dr Mahathir, di situ akan timbul krisis.

    Mungkin kita patut mula sedar, perpecahan di kalangan orang Melayu tidak akan dapat membantu perkembangan orang Melayu.

    Sepatutnya kita menyesali kehadiran Dr Mahathir yang sebenarnya dalam Umno.

    Hasrat beliau amat tinggi dan sebenarnya kita harus sedar bahawa beliau adalah punca kegawatan politik sedia ada dan ini tidak dapat dinafikan.

    Kamarul Khairy ialah pembaca FMT
     

    Subjects:

  • No Comment to " Di mana ada Dr Mahathir, di situ konflik bermula "