• Dewan Serbagunan Sunan Bonong Kemudahan Baharu Penduduk Kampung Demak Fasa 2

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 16 April 2018
    A- A+

    KUCHING: Penduduk Kampung Demak Baru Fasa 2 kini boleh menjalankan pelbagai aktiviti keramaian secara lebih teratur selepas dewan serbaguna kampung tersebut siap sepenuhnya.

    Dewan yang bernilai RM300,000 itu dibina menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai pada tahun 2017 dan mengambil masa setahun untuk disiapkan.

    Menteri Muda Utiliti, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembinaan dewan tersebut turut merangkumi kemudahan lain seperti gelanggang permainan, pentas, tandas dan pejabat pentadbiran.

    "Inisiatif yg diberi kerajaan negeri ini telah memberi impak yang besar dalam membantu membangunkan kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam yang diperlukan masayarakat dengan kadar segera," katanya ketika merasmikan Dewan Serbaguna Sunan Bonong, Kampung Demak Baru Fasa 2 di sini, hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, pelbagai projek yang dipohon pentadbiran kampung dilaksanakan mengikut keutamaan.


    "Projek seperti dewan, padang futsal, padang bolasepak, bina baharu dan baik pulih surau atau masjid, sistem perparitan dan sebagainya telah pun diluluskan mengikut fasa tertentu.

    "Kita juga akan melihat keperluan ataupun keadaan yang memerlukan pembinaan segera akan diberi keutamaan," ujarnya.

    Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada pentadbiran kampung dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam kampung supaya menjaga dewan atau infrastruktur yang dibina.

    "Kemudahan yang dibina di kampung kita adalah untuk kegunaan masyarakat kampung termasuk kita sendiri, anak-anak dan juga keluarga kita," jelasnya.-Sarawakiana

  • No Comment to " Dewan Serbagunan Sunan Bonong Kemudahan Baharu Penduduk Kampung Demak Fasa 2 "