• Depo Pusa nadi penggerak kepada Batang Lupar

    Published: Tuesday, 17 April 2018
    A- A+

    PUSA, 17 April (Bernama) -- Pejabat Depo Pusa yang dinaik taraf untuk menyediakan pelbagai kemudahan berkenaan pertanian bakal merubah wajah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka-Saribas-Betong.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
    berkata depo bernilai RM2.3 juta itu dinaiktaraf kerana Parlimen Batang Lupar amat penting kepada sektor pertanian negara.

    Katanya IADA Kalaka-Saribas-Betong yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro bakal melengkapi IADA Batang Lupar yang merupakan kawasan jelapang padi negara.

    "Bajet besar yang akan diserahkan hari ini bagi tujuan pembangunan makanan seperti tanaman nanas serta projek akuakultur adalah penting kerana IADA mengeluarkan bekalan makanan negara.

    "Dalam pertanian dua perkara perlu diberi perhatian, yang pertama pertanian sebagai sumber makanan dan pertanian memberi sumber kekayaan," katanya dalam ucapan perasmian Pejabat Depo Pusa IADA Kalaka-Saribas-Betong di sini hari ini.

    Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang juga penyandang kerusi Parlimen Batang Lupar dan Adun Beting Maro, Razaili Gapo.

    Pada majlis tersebut, Ahmad Shabery menyerahkan bantuan pertanian tanaman nanas kepada peserta dari Kampung Beladin bernilai RM2 juta, Kampung Beladin (bantuan sulur nanas MD2 bernilai RM700,000) dan Kampung Sungai Lamun, (bantuan sulur nanas MD2 bernilai RM300,000).

    Beliau turut menyerahkan bantuan benih dan makanan udang bernilai RM200,000 kepada peserta dari Kampung Maludam untuk projek akuakultur.

    Sementara itu, Rohani berkata Parlimen Batang Lupar mempunyai potensi sangat besar kerana setiap kawasan DUN dan Parlimen memiliki produk serta hasil tani tersendiri.

    "DUN Sebuyau mengeluarkan hasil tani seperti nanas, keladi dan pisang, DUN Beting Maro terkenal dengan produk perikanan manakala DUN Lingga merupakan kawasan jelapang padi utama di Sarawak.

    "Melihat kepada potensi kawasan Batang Lupar ini, Depo Pusa amat penting dalam merealisasi hasrat menjadikan pusat pengeluar makanan," katanya.

    IADA Kalaka-Saribas-Betong merangkumi keluasan 418,080 hektar melibatkan pembangunan tanaman, ternakan, ternakair, industri asas tani dan pembangunan infrastruktur.

    Depo tersebut menyediakan kemudahan seperti khidmat nasihat, kursus latihan, bimbingan dan tunjuk ajar kemahiran berkenaan teknikal. -- BERNAMA
  • No Comment to " Depo Pusa nadi penggerak kepada Batang Lupar "