• Deejay Radio Ditahan Miliki Pistol, Peluru

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 27 April 2018
    A- A+

    Seorang juruhebah sebuah stesen radio di Ipoh, Perak, ditahan selepas didapati memiliki senjata api ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di lampu isyarat Sungai Siput, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, hari ini.

    Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, suspek berusia 47 tahun memandu kereta jenis Toyota Wish berwarna kuning ditahan selepas didapati menggunakan lampu ‘beacon’ yang mencurigakan oleh sepasukan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, yang sedang menjalankan Operasi Lampu Isyarat.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, hasil pemeriksaan terhadap pemandu membawa kepada penemuan sepucuk pistol semi auto jenama Walther di dalam sarung bersama satu kelopak peluru hidup.

    "Pemeriksaan susulan polis membawa kepada penemuan satu kelopak lain mengandungi tujuh peluru dan 18 peluru lain jenis 9 mm dalam beg sandang yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan," katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, suspek yang berasal dari Wira Jaya, Ipoh itu kemudian dibawa ke IPD Sungai Siput, untuk tindakan lanjut.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu memiliki pistol tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

    "Pada masa ini, kita masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar suspek memiliki senjata berkenaan," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Deejay Radio Ditahan Miliki Pistol, Peluru "