• Dari Pakatan yang diketuai DAP kepada PKR yang dikawal DAP

    Published: Monday, 16 April 2018
    A- A+

    Tulisan asal oleh:
    Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today, 15 April 2018

    Strategi tanpa taktik adalah jalan paling perlahan menuju kemenangan. Taktik tanpa strategi adalah kekecohan sebelum kekalahan. (Sun Tzu: 545-470 SM)

    Perdana Menteri Najib Tun Razak telah mengekalkan rentaknya yang sama dalam tiga tahun ini - dan telah membuat kemajuan dengan setiap langkah - sementara Tun Dr Mahathir Mohamad kerap menukar rentaknya dan bergerak kehadapan dan kemudian mundur ke belakang setiap kali mana-mana langkahnya gagal.

    Najib merancang dan kemudian bertindak. Mahathir bertindak dan kemudian merancang semula. Dan itulah sebabnya kenapa apabila Najib hanya mempunyai satu pelan, Mahathir mempunyai Pelan A, Pelan B, Pelan C, dan sebagainya sehingga Pelan Z. Dan Mahathir sendiri mengakui ini apabila beliau berkata jika Pelan A gagal beliau akan menggunakan Pelan B.

    Jika anda gagal untuk merancang, maka anda merancang untuk gagal. Dan tindakan yang Mahathir ambil sentiasa mendatangkan masalah besar. Walaupun Mahathir mempunyai ilusi bahawa beliau yang mengawal permainan, sebenarnya Lim Kit Siang dan DAP yang menentukan bagaimana permainan dimainkan. Dan itulah sebabnya dari Pakatan Harapan yang dipimpin oleh DAP, pakatan pembangkang telah berubah menjadi PKR yang dikawal oleh DAP.

    Mahathir nampaknya tidak menyedari bahawa beliau hanyalah satu alat mudah untuk pakatan pembangkang gunakan untuk menyerang Najib, Umno dan Barisan Nasional. Dan sekarang memandangkan 'Tsunami Melayu' tidak boleh berlaku, mereka tidak lagi memerlukan Mahathir. Malah Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berkata Suruhanjaya mungkin ditubuhkan untuk menyiasat Mahathir jika pakatan pembangkang berkuasa (http://www.malaysia-today.net/2018/04/15/wan-azizah-not-ruling-out-possible-commission-to-investigate-mahathir-if-opposition-wins-ge14/).

    Mahathir fikir beliau mempunyai rancangan dan tahu apa yang dilakukannya. Dan hanya kerana Najib berdiam diri, Mahathir mentafsirkannya sebagai Najib mengakui kekalahan. Mahathir terlupa kata Melayu, diam-diam ubi berisi. Najib hanya melakukan apa yang orang Melayu panggil ulur tali.

    Sudah tentu, ada masa Najib juga membuat beberapa serangan. Tetapi semua serangan itu adalah serangan yang terancang, tidak seperti serangan rawak oleh Mahathir. Dan Najib tahu sasaran mana yang penting. Serang sasaran penting itu dan Mahathir akan melenting dan melatah.

    Langkah paling menarik yang dibuat oleh Najib adalah pada 3 Disember 2016 semasa perhimpunan tahunan Umno apabila beliau mendedahkan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 atau PRU14 akan menjadi antara Barisan Nasional yang dipimpin oleh Umno dan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP. Ini menyebabkan Kit Siang panik dan beliau memanggil Mahathir pada malam yang sama untuk menjemputnya ke konvensyen DAP pada keesokan harinya.

    Tetapi sebelum itu mereka telah membuat pengumuman bahawa Mahathir tidak dijemput ke konvensyen DAP pada 4 Disember 2016. Dan sekarang, hanya beberapa jam sebelum acara itu, mereka segera memanggil Mahathir untuk mengajaknya hadir.

    Mahathir tahu bahawa DAP memerlukannya lebih daripada beliau memerlukan DAP. Jadi, beliau tidak akan menjual dirinya begitu sahaja. Jika Kit Siang mahu beliau untuk hadiri konvensyen DAP dalam masa beberapa jam, maka mereka perlu membayar harga. Dan harga itu ialah PPBM mesti dibenarkan menyertai Pakatan Harapan dan beliau mesti dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

    Mahathir kemudian mengumumkan bahawa PPBM menyertai Pakatan Harapan dan beliau adalah 'Top Dog' Pakatan Harapan. Ia sama seperti Napoleon meletakkan dirinya sendiri sebagai Maharaja Perancis kerana Paus enggan melakukannya. Oleh kerana Paus Kit Siang enggan memahkotakan Mahathir sebagai Top Dog, Mahathir memahkotakan dirinya sendiri sebagai Top Dog.

    Jadi sekarang Kit Siang terikat secara paksa dengan PPBM sebagai ahli Pakatan Harapan dan Mahathir sebagai Top Dog Pakatan Harapan.

    Mereka tahu bahawa orang Cina tidak akan dapat menerima itu tetapi itu adalah harga yang mereka perlu bayar untuk menepis pengumuman Najib bahawa PRU14 adalah satu pertandingan antara Barisan Nasional yang dipimpin oleh Umno dan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP. Dengan 'klon Umno', PPBM, dalam Pakatan Harapan, dan Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, bagaimana mereka boleh mengatakan Pakatan Harapan diketuai oleh DAP?

    Dan DAP akan cuba menjelaskan kepada orang Cina kemudian mengapa DAP membenarkan PPBM memasuki Pakatan Harapan dan malah menjadikan Mahathir sebagai Taiko.

    Apabila PPBM dibatalkan pendaftarannya, Kit Siang sebenarnya melihat ini sebagai satu rahmat besar dan satu bentuk bantuan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk DAP. Kini mereka boleh menjauhkan diri daripada PPBM (kerana ia tidak lagi wujud) dan pada masa yang sama Mahathir tidak lagi boleh menjadi Top Dog Pakatan Harapan (kerana Pakatan Harapan juga tidak akan wujud).

    Mereka sebelum ini dengan jelas mengatakan bahawa mereka memerlukan Mahathir hanya untuk dua perkara. Satu: menyerang Najib dan cuba untuk menjatuhkannya (yang mana gagal dilakukan). Dua: untuk membawa masuk undi Melayu dan mencetuskan Tsunami Melayu (yang juga gagal berlaku). Jadi mengapa mereka masih memerlukan Mahathir?

    Sekarang, dengan PPBM tidak lagi berada dalam gambar dan dengan Mahathir bukan lagi Pengerusi Pakatan Harapan yang tidak wujud, mereka boleh mencuci tangan mereka dari apa yang telah menjadi beban kepada pakatan pembangkang.

    Mahathir kemudian mencadangkan Pelan B, yang katanya akan dilancarkan jika Pelan A (pendaftaran PPBM dan Pakatan Harapan) gagal. Dan Pelan B adalah semua calon pakatan pembangkang bertanding PRU14 di bawah PKR - termasuklah calon DAP dan PAN.

    Kit Siang dengan cepat dan gembira bersetuju dengan Pelan B. Ia menyelesaikan satu masalah utama bagaimana untuk menjelaskan kepada orang Cina mengapa parti klon Umno berada dalam Pakatan Harapan dan mengapa Mahathir adalah Top Dog Pakatan Harapan. Mahathir sendiri mencadangkan penyelesaian dan Kit Siang dengan segera bersetuju dengannya sebelum Mahathir mengubah fikirannya.

    Satu perkara yang perlu diperhatikan adalah hakikat bahawa Mahathir malah perlu mengumumkan bahawa beliau akan melancarkan Pelan B jika Pelan A gagal bermakna beliau sudah tahu bahawa Pakatan Harapan tidak boleh didaftarkan kerana kegagalan PPBM mematuhi surat RoS.

    Apa-apa pun, sekarang Wan Azizah adalah Top Dog pakatan pembangkang dan pakatan pembangkang kini dipanggil PKR dan bukannya PH. Pakatan pembangkang perlu dilihat sebagai PKR dan bukannya DAP kerana mereka memerlukan wajah Melayu dan Wan Azizah adalah wajah Melayu. Lebih-lebih lagi, pada tahun 2014, Wan Azizah telah menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menjadi boneka dan itu adalah apa yang diperlukan oleh DAP, boneka.

    Tidak mungkin DAP dan PKR akan mahu menjadikan Mahathir sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi PRU14. Malah, Kit Siang dan Wan Azizah bersetuju bahawa jika pakatan pembangkang memenangi PRU14, satu suruhanjaya mesti ditubuhkan untuk menyiasat jenayah Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

    Jadi apa yang akan mereka lakukan kepada Mahathir jika pakatan pembangkang menang PRU14? Adakah mereka akan memberi ganjaran kepada Mahathir kerana membantu pakatan pembangkang memenangi Putrajaya? Atau adakah Mahathir akan mengalami nasib anak muda dalam cerita 'Singapura dilanggar todak'?

    Link asal artikel:
    http://www.malaysia-today.net/2018/04/15/from-dap-led-pakatan-to-dap-controlled-pkr/

    Subjects:

  • No Comment to " Dari Pakatan yang diketuai DAP kepada PKR yang dikawal DAP "