• DAP ketepikan Dr. Seng Giaw

    Published: Tuesday, 10 April 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR 10 April - Seperti yang dijangka, DAP tidak mencalonkan Dr. Tan Seng Giaw untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kepong yang disandangnya sejak lapan penggal lalu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

    Menurut status dalam laman Twitter Roketkini malam tadi, Dr. Seng Giaw akan digantikan oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

    Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam majlis taklimat khas pilihan raya kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malam tadi.

    Sebelum ini, spekulasi berhubung nasib Dr. Seng Giaw dalam PRU-14 timbul ekoran pendiriannya yang tidak sehaluan dengan kepemimpinan DAP yang lain berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Beliau yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat secara langsung dalam isu tersebut.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Segambut.

    Tiga lagi ahli Parlimen DAP iaitu Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan Teresa Kok (Seputeh) kekal mempertahankan kerusi masing-masing. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " DAP ketepikan Dr. Seng Giaw "